SUKAN > BERITA

KBS TIDAK LULUS PERUNTUKAN GPS, DSK JIKA ENGGAN PATUH KOD SUKAN SELAMAT

10/07/2024 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak akan meluluskan peruntukan menerusi Geran Padanan Sukan (GPS) mahupun Dana Sukan Komuniti (DSK) sekiranya terdapat penglibatan syarikat tembakau, rokok elektronik dan alkohol menerusi pindaan dibuat di bawah kandungan Kod Sukan Selamat. 

Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata pengajuran sesebuah acara turut dibatalkan sekiranya pihaknya dapat mengesan penglibatan syarikat terbabit selepas diluluskan kerana memudaratkan semua pihak. 

“Kita memang tidak akan (berikan) peruntukan bagi aktiviti yang mempunyai tajaan ataupun penggunaan barangan (tembakau, rokok elektronik dan alkohol) seperti ini. Kita (juga) sebagai pemilik Perbadanan Stadium turut melaksanakan larangan sama,” katanya. 

Beliau berkata demikian selepas merasmikan kempen kawalan merokok anjuran bersama Pusat Perubatan Cengild GI, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia, Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia dan Kementerian Kesihatan Malaysia di sini hari ini. 

Pada Februari lepas, KBS memaklumkan pihaknya akan mengambil langkah proaktif dengan menambah baik Kod Sukan Selamat selepas tular di media sosial tentang satu penganjuran sukan mendapat tajaan daripada syarikat vape. 

Sementara itu, mengulas mengenai majlis hari ini, Hannah berkata menjadi tanggungjawab KBS untuk memastikan belia bebas daripada isu sosial kerana itu pihaknya akan memperhebatkan lagi pelaksanaan Rakan Muda pada tahun ini. 

Beliau memaklumkan bahawa pelaksanaan program Rakan Muda pada tahun lepas telah berjaya menarik penyertaan 5,682,590 orang melalui 7,260 program dan aktiviti secara keseluruhan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan