SUKAN > BERITA

SUKMA 2024: SARAWAK SEDIA 'PINJAMKAN' ATLET

12/07/2024 11:33 AM

KUCHING, 12 Julai (Bernama) -- Tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak, sedia ‘meminjamkan’ atletnya kepada negeri lain bagi mengatasi masalah kekurangan penyertaan di temasya itu yang dijadual berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos depan.

Pengarah Majlis Sukan Negeri Sarawak Awang Putra Yusrie berkata berdasarkan maklumat diterima minggu lepas, sebanyak 30 daripada keseluruhan 488 acara yang dipertandingkan seakan sukar mencapai jumlah penyertaan minimum enam negeri sekali gus berdepan risiko digugurkan.

Beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak berpandangan jika pengguguran acara berlaku, ia akan memberi kesan negatif terhadap aspek kemajuan atlet.

“Kita (Sarawak) ada atlet pelapis, kita memang (ada) tawarkan. Sebelum ini pun kita dah tawarkan beberapa atlet terjun kepada negeri lain untuk bantu mereka dan pernah tawarkan pasukan futsal wanita dulu. Untuk sukan-sukan lain sekiranya negeri lain perlukan atlet memang kita bersedia (pinjamkan).

“Mereka (atlet yang dipinjamkan) boleh berlatih menggunakan kemudahan dan berlatih bersama atlet kita di sini. Sayang kita ada bakat tapi kalau tak dapat atau terlepas beraksi di SUKMA itu satu kerugian...bakat akan hilang, tapi kalau ada permintaan (pinjam) kita memang akan membantu,” kata Awang Putra.

Beliau yang mengharapkan keseluruhan 488 acara dapat dikekalkan berkata demikian pada sesi temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) di Kompleks Akuatik Pandelela Rinong di sini.

Delegasi Bernama diketuai Ketua Pengarang Arul Rajoo Durar Raj dan Timbalan Editor Eksekutif Elmi Rizal Elias.

Pada masa sama, Awang Putra turut menyifatkan adalah tidak adil bagi negeri-negeri yang sudah membuat persiapan rapi lebih awal termasuk membeli tiket kapal terbang dan membayar elaun atlet masing-masing jika akhirnya pengguguran acara berlaku.

“Saya harap MSN negeri lain seiring dengan tujuan kita kenapa SUKMA diadakan dan hantar atlet kali ini, memang kos agak tinggi di Sarawak tapi itulah peluang kita untuk bangunkan atlet di Malaysia,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata keputusan sama ada 488 acara kekal atau digugurkan kerana kurang penyertaan akan dimuktamadkan pada mesyuarat Jawatankuasa Khas Teknikal SUKMA Sarawak 2024 yang dipengerusikan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Kuala Lumpur pada 18 Julai ini.

SUKMA 2024 menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara terdiri daripada 236 acara lelaki, 217 acara wanita dan 35 lagi acara campuran lelaki dan wanita, selain melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan