SUKAN > BERITA

SPEEDY TIGERS TEWAS 5-0 KEPADA BELANDA

12/07/2024 10:59 PM

KUALA LUMPUR, 12 Julai (Bernama) -- Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Sarjit Singh berkata anak buahnya menampilkan struktur pertahanan yang baik meskipun tewas 5-0 kepada Belanda pada perlawanan siri Jelajah Eropah di Arnhem hari ini.

Beliau turut menyifatkan perlawanan menentang pasukan nombor satu dunia itu di Kelab Hoki MIxed Arhem Upward sebagai pendedahan terbaik untuk Speedy Tigers bermain dengan lebih yakin.

“Permainan intensiti yang baik dan perlawanan baik untuk semua pemain menentang pasukan nombor satu dunia. Pada perlawanan hari ini, pemain bekerja lebih keras dan menunjukkan struktur pertahanan yang lebih baik berbanding perlawanan menentang Jerman.

“"Terdapat juga detik-detik dalam perlawanan apabila kami mengasak dan tidak hanya bertahan,”katanya menerusi kenyataan yang dikongsi Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) di sini hari ini.

Ini adalah kekalahan ketiga Malaysia dalam enam perlawanan.

Mereka memulakan kempen dengan tiga perlawanan menentang Belgium B, iaitu menang 3-2 pada 1 Julai, kalah 2-4 (3 Julai) dan menang 3-2 (5 Julai).

Speedy Tigers kemudian dibelasah 10-1 oleh pasukan nombor lima dunia Jerman pada Isnin (8 Julai) sebelum menewaskan kelab Hoki dan Tenis Bundesliga, Gladbach 9-2 di Monchengladbach pada hari berikutnya.

Speedy Tigers, yang menduduki ranking ke-12 dunia, akan berehat sehari sebelum menentang pasukan nombor tujuh dunia, India pada Ahad ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan