SUKAN > BERITA

OLIMPIK PARIS 2024: JANGAN BIAR TEKANAN MENGUASAI - CHONG WEI

13/07/2024 08:39 PM

KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kira-kira dua minggu menjelang Sukan Olimpik Paris 2024, debaran pastinya kian dirasai pemain-pemain badminton negara apatah lagi selepas undian oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) semalam.

Kesemua pemain negara kini boleh mencatur strategi kecuali juara dunia beregu lelaki 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang belum mengetahui saingan mereka pada temasya terbesar itu.

Undian bagi acara beregu lelaki tidak diadakan semalam apabila BWF memaklumkan ia akan dibuat pada satu tarikh yang bakal ditentukan susulan perbicaraan di Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).

Dalam berdepan lonjakan adrenalin itu, pemenang tiga kali pingat perak Olimpik Datuk Lee Chong Wei mempunyai mesej ringkas untuk pemain: 'Jangan biarkan tekanan menguasai anda tetapi fokus untuk mengharumkan nama negara'.

Menerusi undian berkenaan, beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah berdepan tugas sukar apabila berada dalam kumpulan bersama pilihan utama dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan dalam Kumpulan D.

Turut berada dalam kumpulan sama, beregu ranking keenam dunia Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun dan beregu nombor sembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia.

Meskipun berdepan laluan sukar, Chong Wei berharap Pearly-Thinaah dapat mempamerkan aksi terbaik dan memanfaatkan setiap detik di gelanggang dalam penampilan sulung mereka di Olimpik.

“Nikmati permainan dan jaga kesihatan diri,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Dalam pada itu pemain perseorangan profesional lelaki negara Lee Zii Jia mendapat laluan mudah untuk melepasi peringkat kumpulan dengan diundi bersama pemain ranking ke-72 dunia dari Sri Lanka, Viren Nettansinghe dan pemain nombor 63 dunia dari Sepanyol Pablo Abian dalam Kumpulan G.

Bagi acara perseorangan wanita, pemain profesional negara Goh Jin Wei diundi bersama Kim Ga Eun dari Korea Selatan dan pemain Afrika Selatan Johanita Scholtz dalam Kumpulan H. 

 Beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei turut berpeluang cerah melepasi peringkat kumpulan apabila diundi dalam Kumpulan D bersama pilihan kedua dari China Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping, beregu Amerika Syarikat Vinson Chiu-Jennie Gai dan pasangan Singapura Terry Hee Yong Kai-Jessica Tan Wei Han.

Hanya juara kumpulan bagi acara perseorangan dan dua beregu teratas dalam kumpulan layak ke peringkat suku akhir.

Saingan badminton Olimpik Paris akan berlangsung di Porte de la Chapelle Arena pada 27 Julai hingga 5 Ogos ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan