SUKAN > BERITA

ISAAC, SZE HUI MUNCUL JUARA TRIATLON KATEGORI REMAJA LELAKI DAN WANITA KEBANGSAAN

15/07/2024 04:13 PM

IPOH, 15 Julai (Bernama) -- Isaac Tan dan Teo Sze Hui dinobatkan sebagai Juara Remaja Lelaki dan Wanita Kebangsaan selepas masing-masing muncul pelumba terpantas Malaysia pada Piala Remaja Triathlon Asia 2024 yang diadakan di Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR) semalam.

Persatuan Triatlon Malaysia dalam kenyataan memaklumkan pada kejohanan berkenaan turut berlangsung Kejohanan B-15 Kebangsaan.

“Isaac dan Sze Hui merupakan harapan utama negara dalam pertandingan itu yang menampilkan atlet remaja elit terbaik Asia berusia antara 16 dan 19 tahun.

“Isaac, 19, menduduki tempat ke-19 daripada 72 peserta melengkapkan perlumbaan yang menggabungkan renangan sejauh 750 meter, berbasikal 20 kilometer (km) dan larian 5 km dalam masa satu jam, 55 saat (1:00:55),” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, Isaac berkata dia merasakan mampu lakukan yang lebih baik dan berpuas hati untuk mengekalkan statusnya sebagai atlet triatlon terbaik negara.

 “Ini adalah kejuaraan junior pertama saya dan kejuaraan kebangsaan ketiga secara keseluruhan, di Kota Kinabalu tahun lalu dan Putrajaya pada Februari lepas. 

"Saya masih lagi menyesuaikan diri dengan program latihan baharu dan sedang membuat persediaan untuk Kejohanan Asia di Arab Saudi Disember ini, malah saya harapkan prestasi akan bertambah baik dalam beberapa bulan akan datang," katanya. 

Sementara itu, Sze Hui pula berkata dia sangat berpuas hati untuk kembali dengan rentak kemenangan selepas ditimpa kecederaan yang memaksanya untuk berehat selama enam bulan.

"Semestinya amat gembira. Ini merupakan perlumbaan kompetitif pertama dalam enam bulan selepas terlibat dalam kemalangan ketika berbasikal dan alami retak tulang.

"Keputusan ini pasti penting kerana saya berharat untuk mewakil negara pada Sukan SEA tahun depan. Saya akan cuba bersaing untuk menempatkan diri sebagai antara pelumba terbaik, ada beberapa lagi atlet senior yang saya perlu atasi. Disebabkan had umur, segelitir mereka tidak dapat bersaing kali ini," katanya.

Sze Hui mencapai kedudukan tempat kesembilan daripada 32 peserta yang bertanding dengan catatan masa 1:11:53 pada kejohanan tersebut. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan