SUKAN > BERITA

PAN GON MAHU KEKAL HUBUNGAN BAIK DENGAN MALAYSIA

16/07/2024 06:31 PM

PETALING JAYA, 16 Julai (Bernama) -- Bekas ketua jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon mahu mengekalkan hubungan baik dengan skuad itu biarpun tidak lagi menjadi tunjang kepada kebangkitan prestasi skuad negara ketika ini.

Pan Gon berkata perjalanannya bersama skuad itu selama tempoh dua tahun enam bulan disifatkan cukup indah dan luar biasa selain percaya dengan potensi Malaysia untuk pergi jauh dalam saingan seterusnya di bawah kendalian Pau Marti Vicente selaku pemangku ketua jurulatih.

“Dari lubuk hati saya, saya sangat berterima kasih kepada semua orang yang telah menyokong saya dan pasukan kebangsaan. Harapan saya, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), kerajaan dan seluruh rakyat Malaysia akan terus menyokong dan menggalakkan pasukan negara mencapai matlamat seterusnya iaitu layak ke Piala Asia buat kali kedua berturut-turut.

"Sekarang sebagai 'separuh' rakyat Malaysia, saya akan sentiasa menyokong pasukan bola sepak Malaysia dan berbangga dengan Malaysia ke mana sahaja saya pergi," katanya selepas sidang media khas mengumumkan peletakan jawatannya di Wisma FAM, Kelana Jaya, di sini hari ini.

Pengendali dari Korea Selatan berusia 55 tahun itu, berkata ‘perpisahan’ dengan skuad itu bukanlah satu pengakhiran berikutan telah meninggalkan legasi kejayaan bersama dan tidak mustahil buat beliau menjadi salah seorang penyokong skuad Harimau Malaya.

“Ia tidak boleh menjadi hari yang menyedihkan untuk anda (Malaysia). Ini bukan penghujung...jangan salah faham hubungan saya dengan Malaysia.

"Saya membina legasi saya di sini dan cinta saya tetap di sini….hubungan kami tidak putus, Saya akan menyumbang mungkin dengan cara yang lain dalam bola sepak Malaysia atau masyarakat,” katanya.

Pan Gon mengumumkan peletakan jawatannya berkuat kuasa serta-merta atas alasan komitmen peribadi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan