SUKAN > BERITA

MANFAAT EKONOMI, PEMBANGUNAN ATLET ANTARA FAKTOR SELANGOR TAWAR JADI TUAN RUMAH SUKMA 2026

23/07/2024 03:51 PM

SHAH ALAM, 23 Julai (Bernama) -- Keputusan Selangor menawarkan diri menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 dibuat selepas mengambil kira manfaat yang bakal diperoleh melalui penganjuran temasya sukan dwitahunan berprestij itu.

Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi berkata tawaran itu adalah selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk mengangkat prestasi sukan serta keupayaan atlet negeri selepas kali terakhir Selangor menjadi tuan rumah pada 1998, iaitu 28 tahun lepas.

Beliau berkata penganjuran acara sukan yang dilangsungkan setiap dua tahun itu juga berpotensi mengangkat sektor pelancongan sukan yang merupakan satu daripada elemen penting dalam agenda pemerkasaaan ekonomi negeri.

"Selangor memiliki hampir semua kemudahan infrastruktur sukan bertaraf antarabangsa dan yakin melalui penganjuran SUKMA, kita mampu menjana ekonomi kepada negeri dan rakyat melalui kehadiran peminat sukan dari seluruh negeri dan juga dari Asia Tenggara.

"Atas faktor itu, kita melihat Selangor perlu ambil peluang penganjuran sukan berprestij ini untuk menjana ekonomi setempat.

"Dari segi penganjuran mungkin kita perlu mengeluarkan kos, tetapi kalau dilihat dari segi impak, ia sebenarnya amat bermanfaat dan memberi pulangan kepada negeri," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Bizmatch Mega PKNS di Dewan Raja Muda Musa di sini hari ini.

Mohd Najwan berkata demikian ketika mengulas mengenai persediaan dan manfaat kepada Selangor selepas dipilih menjadi tuan rumah SUKMA 2026.

Khamis lepas, Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh memutuskan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA 2026 selepas Selangor dilaporkan tampil menawarkan diri untuk mengelolakan kejohanan edisi ke-22 itu.

Dalam pada itu, Mohd Najwan berkata penganjuran SUKMA memberi peluang kepada Selangor untuk menaik taraf kemudahan sukan sedia ada.

Beliau berkata pihaknya bersedia menjadikan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) yang kini dalam proses pembinaan sebagai venue utama SUKMA jika kemudahan moden itu dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

"Kita harap pembinaan kompleks sukan ini dapat disiapkan mengikut jadual. Jika ia dapat disempurnakan dengan baik, kita boleh jadikan sebagai venue utama penganjuran majlis perasmian nanti," katanya.

Sebelum ini, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dilaporkan berkata proses pembinaan semula Stadium Shah Alam yang dijenamakan sebagai KSSA berjalan lancar dan dijangka siap pada hujung 2026 seperti dijadualkan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan