SUKAN > BERITA

BUKAN HANYA KEJUARAAN, SARAWAK JUGA MAHU LAHIRKAN ATLET BERTARAF ANTARABANGSA

29/07/2024 12:09 PM

KUCHING, 29 Julai (Bernama) -- Dalam keghairahan menjadi juara keseluruhan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024, Sarawak tidak pernah menyisihkan kepentingan meneruskan usaha mengenal pasti atlet pelapis yang mampu mewakili negara di pentas antarabangsa.

Ketua kontinjen Sarawak Datuk Gerald Rentap Jabu berkata penganjuran edisi ke-21 ini juga dapat menjadi kayu pengukur bagi menilai keupayaan Sarawak untuk menjadi tuan rumah acara di peringkat lebih tinggi khususnya selepas menawarkan diri menjadi hos bersama Sukan SEA 2027.

“Memang hasrat kita hendak menjadi juara keseluruhan (SUKMA ke-21) tetapi kita pun ingin melihat kesinambungan pembangunan sukan untuk Malaysia. Daripada SUKMA ini kita akan mendapatkan atlet yang dapat mewakili negara,” katanya semasa menjadi tetamu program RTM, Planet Sukan di TV1 pada Ahad malam.

Beliau berkata penampilan dua atlet kelahiran Sarawak, Ashley Lau Jen Wen untuk sukan golf dan Bertrand Rhodict Lises (terjun) di Sukan Olimpik PAris 2024, membuktikan antara kejayaan pembangunan sukan di Sarawak.

“Kita juga ada peluang menganjurkan Sukan SEA pada 2027, jadi (SUKMA) ini satu platform untuk  menyediakan atlet kita.

Rentap yang juga Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak berkata persiapan untuk venue acara juga menjadi cabaran besar untuk SUKMA kali ini yang menyenaraikan 488 acara sukan, iaitu jumlah terbesar dalam sejarah penganjuran temasya dwitahunan kebangsaan berkenaan.

Beliau berkata penambahbaikan kemudahan sukan juga perlu dilaksanakan berikutan perubahan dari segi peraturan pertandingan jenis sukan tertentu, namun ini dilihat sebagai persediaan jangka panjang untuk menghadapi penganjuran sukan bertaraf antarabangsa di Sarawak pada masa depan.

“Sebagai contoh acara menembak (sekarang) mesti menggunakan pemarkahan elektronik. Jadi ini memerlukan perbelanjaan lebih besar. Sekarang lapang sasar Sarawak menggunakan teknologi pemarkahan elektronik terbaru, lebih canggih daripada di Olimpik Paris,” katanya.

Beliau berkata penganjuran acara sukan peringkat tinggi juga mampu membawa limpahan manfaat ekonomi kepada rakyat.

“Kita mesti melihat dari segi keseluruhannya. Kalau kita ada kemudahan ini, ia juga meningkatkan pendapatan dari segi pelancongan, ekonomi … bukan sahaja sukan,” katanya.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan