SUKAN > BERITA

Paris 2024: Pearly-Thinaah Lakukan Satu Lagi Kejutan, Layak Ke Suku Akhir

30/07/2024 05:54 PM

Daripada R. Vikneswaran

PARIS, 30 Julai (Bernama) -- Pasangan beregu badminton wanita negara Pearly Tan-M. Thinaah layak ke suku akhir Sukan Olimpik 2024, selepas melakukan satu lagi kejutan pada perlawanan terakhir Kumpulan A mereka, hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Birmingham 2022 itu, yang dalam misi mesti menang mereka pada perlawanan peringkat kumpulan itu, mengejutkan pasangan kesembilan dunia Apriyani Rahayu-Siti Fadia Silva Ramadhanti dari Indonesia 21-18, 21-9 di Porte de La Chapelle Arena, di sini.

Pada perlawanan yan penuh mendebarkan itu, Pearly-Thinaah yang merupakan pasangan ke-13 dunia, bermain dengan perlawanan yang sengit sebelum menang set pertama, dan berjaya menguasai set kedua untuk menang dalam masa 45 minit.

Pasangan negara yang sebelum ini tewas kepada juara Dunia dari China Chen Qing Chen-Jia Yi Fan pada Sabtu, berjaya melakukan kejutan dengan mengalahkan juara dunia dua kali, pasangan Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara dari Jepun semalam, bagi menghidupkan semula harapan mereka.

Terdahulu Qing Chen-Yi Fan, mengungguli kumpulan A selepas mengalahkan Matsumoto-Nagahara 21-16, 21-15.

Sebelum ini pasangan beregu wanita negara hanya sekali layak ke suku akhir Sukan Olimpik iaitu di Rio 2016, apabila pasangan Vivian Hoo-Woon Khe Wei tewas kepada juara acara itu Misaki Matsutomo-Ayaka Takahashi.

Sukan Olimpik 2024 turut menyaksikan pasangan beregu lelaki negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan pasangan beregu campuran Chen Tang Jie-Toh Ee Wei telahpun menempah slot ke suku akhir, manakala pemain profesional perseorangan Lee Zii Jia (lelaki) dan Goh Jin Wei (wanita) hanya akan mengetahui nasib mereka selepas perlawanan kedua peringkat kumpulan pada Rabu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan