SUKAN > BERITA

SUKMA: Skuad Bola Sepak WP Buru Gangsa

05/08/2024 02:31 PM

Oleh Norhayati Mohd Akhir

CYBERJAYA, 5 Ogos (Bernama) -- Skuad bola sepak Wilayah Persekutuan (WP) menyasarkan pingat gangsa pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak yang akan berlangsung pada 17 hingga 24 Ogos ini, kata Pengarah Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) Nik Ahmad Zahiruddin Nik Saleh.

Bercakap kepada Bernama, Nik Ahmad Zahiruddin berkata sasaran itu dibuat selepas melihat prestasi persembahan dan mutu permainan pasukan yang terdiri daripada gabungan pemain yang pernah beraksi untuk Piala Belia 2022 dan Piala Presiden 2023.

“Saya nampak ada sesuatu yang positif daripada pasukan ini. Kalau ikutkan sasaran saya nak sekurang-kurangnya empat terbaik, menyamai pencapaian yang lepas tetapi kalau ada rezeki kita nak naik podium dengan pingat gangsa.

“Saya beri kepercayaan penuh kepada jurulatih dan dengan keupayaan beliau, saya harap ada sesuatu yang positif untuk skuad ini, sebab ini ibu segala pingat. Kalau pasukan dapat gangsa, ada insentif daripada Majlis Sukan Wilayah,” katanya selepas menyaksikan perlawanan persahabatan antara skuad bola sepak Wilayah Persekutuan dan PDRM FC di sini baru-baru ini.

Beliau turut menaruh kepercayaan kepada jurulatih pasukan, Mohd Nidzam Adzha Yusoff untuk meningkatkan kesefahaman antara pemain agar skuad itu dapat menampilkan prestasi permainan yang berkualiti pada temasya sukan dwitahunan itu.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata kontinjen Wilayah Persekutuan (WiPers) menyasarkan 70 pingat emas dalam usaha merealisasi misi menjadi juara SUKMA.

Dr Zaliha turut mengumumkan insentif sehingga RM5,000 buat pemenang pingat emas (individu dan berpasukan), RM2,000 bagi perak dan RM1,000 bagi gangsa sebagai pembakar semangat kontinjen itu.

Sementara itu, Mohd Nidzam Adzha berkata skuad kendaliannya itu kini berada pada fasa akhir latihan dengan jayanya walaupun tanpa kelibat penyerang kebangsaan, Haqimi Azim Rosli.

“Memang kami buat persiapan tanpa Haqimi Azim sebab dia dengan Kuala Lumpur City (KL City). Kami harap pasukan kami dapat khidmat beliau ke SUKMA nanti,” kata bekas jurulatih Kedah itu.

Ditanya mengenai status Haqimi Azim, beliau berkata pihaknya berharap KL City dapat mempertimbangkan dan memberikan pelepasan buat pemain muda itu untuk berjuang di gelanggang SUKMA.

“Saya mengakui bahawa kehadiran dia akan membantu pasukan dan boleh menjadi kelebihan buat kami sekiranya Haqimi Azim menyertai pasukan ini,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, pemain muda berusia 21 tahun itu mengadakan sesi latihan bersama skuad bola sepak WP sebagai persiapan menyertai SUKMA. Langkah itu diambil susulan masalah tunggakan gaji yang dihadapi pemain dan jurulatih KL City.

SUKMA 2024 melibatkan sembilan bahagian iaitu di Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

Temasya kali ini menyaksikan 37 jenis sukan dipertandingkan membabitkan 488 acara selain dijangka menghimpunkan seramai 12,619 atlet dan pegawai.

SUKMA yang diperkenalkan pada 1986 telah dianjurkan di Sarawak sebanyak dua kali sebelum ini iaitu pada 1990 dan 2016.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan