SUKAN > BERITA

LTdL 2024: Mamat Sedia Sarung Jersi TSG, Masih 'Dahagakan' Kejayaan

06/08/2024 06:35 PM

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Bernama) -- Walaupun usianya mencecah 35 tahun, pelumba negara Mohd Harrif Saleh sedia menggalas cabaran pasukan Terengganu Cycling Team (TSG) jika khidmatnya ditagih untuk saingan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024.

Mohd Harrif atau mesra disapa Mamat berkata perjuangannya dalam sukan berbasikal belum selesai dan masih ‘dahagakan’ lebih banyak kejayaan dalam kariernya, terutama dalam LTdL yang diadakan di tanah air.

“Bagi saya umur itu hanya sebagai satu angka (dan) tak lebih daripada itu. Saya masih ada tenaga untuk terus berkayuh seterusnya membawa nama TSG ke puncak kejayaan.

“Saya mahu mengikut jejak idola saya, Mark Cavendish (39 tahun) yang masih mampu menggalas cabaran di peringkat kompetitif, jadi akan cuba lakukan dalam masa beberapa tahun ini. Selagi khidmat dan kudrat diperlukan, selagi itu saya terus berkayuh,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan Sekretariat LTdL 2024 hari ini. 

Mohd Harrif mencipta sejarah tersendiri apabila memegang status pelumba paling banyak membuat penampilan di perlumbaan jelajah tertua Asia iaitu dengan 14 penampilan, mengatasi rekod 13 penampilan dipegang pelumba Iran, Ghader Mizbani. 

Beliau pernah meraih tiga kemenangan peringkat perlumbaan LTdL masing-masing satu pada edisi 2019 dan dua pada 2020.

Turut berada dalam senarai sejarah penampilan terbanyak LTdL adalah dua bekas pelumba kebangsaan – Annuar Manan dan Loh Sea Keong apabila masing-masing membuat 12 penampilan

“....jika tidak silap, saya mula beraksi (pada LTdL) ketika berusia 20 tahun. Jika sekali lagi mendapat kepercayaan pasukan untuk beraksi tahun ini, ia akan menjadi satu detik istimewa buat saya.

“Apapun buat masa sekarang saya menjalani latihan seperti biasa. Ada satu kejohanan yang akan disertai di China. Jadi saya akan cuba buat yang terbaik,” katanya.

Sebanyak 22 pasukan termasuk tiga pasukan berstatus World Team - EF Education Easypost dari Amerika Syarikat, Astana Qazaqstan Team (Kazakhstan) dan DSM Firmenich PostNL (Belanda) bakal menghangatkan LTdL 2024.

LTdL 2024 yang memasuki edisi ke-28 tahun ini dijadual berlangsung pada 29 Sept hingga 6 Okt membabitkan lapan peringkat merangkumi laluan sejauh 1,227.2 kilometer (km).

Pulau Langkawi kembali tersenarai dalam laluan edisi kali ini yang turut menyaksikan dua peringkat perlumbaan julung kalinya bakal dilangsungkan di dua buah bandar di Sarawak iaitu Miri dan Bintulu.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan