SUKAN > BERITA

Road to Mukah: Negeri Sembilan cari tiga gol untuk terus mara

13/08/2024 09:45 PM

Oleh Frank Julian Martin

SIBU, 13 Ogos (Bernama) -- Selepas kecundang 0-2 kepada Selangor di Stadium Azman Hashim, Sibu Jaya semalam, pasukan bola sepak Negeri Sembilan berazam untuk bangkit dan berjuang habis-habisan bagi memastikan perjalanan “Road to Mukah” pasukan itu tidak terhenti.

Jurulatih Azlan Ahmad meletakkan sasaran tiga gol untuk dicapai pasukan itu dalam pertemuan dengan Kelantan pada perlawanan kedua Kumpulan A Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 esok.

“Memang kami akan pergi habis-habisan (full swing) besok. Memang kami nak cari gol awal dan masa itulah kita nak mendapatkan lebih gol daripada dua yang kita kena semalam tu supaya kita layak ke suku akhir dan nak ke Mukah,” katanya ketika ditemui Bernama semasa sesi latihan di Padang Bolasepak Sintetik Permai di sini hari ini.

Pasukan itu katanya akan membuat sedikit rombakan berikutan kecederaan yang dialami beberapa pemain.

Menurut Azlan dalam pertemuan dengan Selangor, pasukannya bermula dengan baik dan mendapat beberapa peluang untuk menjaringkan gol pada separuh masa pertama.

Bagaimanapun peluang-peluang tersebut tidak berjaya diterjemahkan kepada gol sehingga Selangor membolos gawang Negeri Sembilan di minit ke-44.

Pasukan itu cuba bangkit untuk memberikan saingan namun di minit ke-65 beberapa pemain mulai dilanda masalah kekejangan dan terpaksa ditukar.

Menghampiri penghujung babak perlawanan Selangor menambah satu lagi gol bagi mengesahkan kedudukan teratas dalam Kumpulan A.

“Ada beberapa pemain membuat kesilapan dan tidak fokus ketika bermain. Ada yang menghadapi masalah peribadi namun selepas sesi luahan hati pemain saya tampak lebih bersemangat dan bersedia untuk beraksi di perlawanan yang berikutnya,” tambahnya sambil melahirkan keyakinan bahawa pasukannya itu mampu menang ke atas Kelantan esok.

Perlawanan pada peringkat kumpulan diadakan secara round-robin di venue sekitar Sibu sebelum juara serta naib juara kumpulan berentap pada pusingan kalah mati di suku akhir, diikuti separuh akhir dan final yang akan berlangsung di Mukah.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan