SUKAN > BERITA

Ini Hadiah Buat Arwah - Muhamad Iqbal Daniel

15/08/2024 04:19 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- “Ini hadiah buat arwah,” kata pelumba Terengganu Muhamad Iqbal Daniel Mohd Nawawi selepas meraih pingat emas acara berbasikal lepas beramai-ramai individu dan berpasukan lelaki Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Beliau berkata jurulatih skuad berbasikal Terengganu Muhammad Muslim Marzuki merupakan individu yang bertungkus-lumus dalam memastikan prestasi para pelumba berada pada tahap terbaik.

Malangnya, Muhammad Muslim tidak sempat mengecapi kejayaan bersama mereka kerana telah meninggal dunia selepas motosikal dinaikinya terlibat kemalangan dengan sebuah lori ketika mengiringi skuad berbasikal Terengganu menjalani latihan di Kilometer 52 Jalan Kuantan-Maran pada 12 Nov lepas.

Pelumba berusia 20 tahun itu berkata tragedi berlaku ketika pasukan dalam persiapan menyertai Jelajah Negeri Sembilan 2023 dan SUKMA 2024 ternyata merentap semangat pasukan yang rata-ratanya berusia 19 tahun ketika itu.

“Jurulatih (Muhammad Muslim) bertungkus-lumus untuk pastikan kami semua berada dalam prestasi terbaik dan dapat latihan secukupnya.

“Jadi saya cakap pada pasukan kita jadikan SUKMA ini medan untuk bangkit, bawa semangat jurulatih ketika kayuh dan usaha keras untuk capai kejayaan hari ini untuknya,” katanya.

Muhamad Iqbal Daniel yang meraih emas acara individu selepas menamatkan perlumbaan sejauh 146.4 kilometer (km) di Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini dengan catatan 3 jam 39 minit 16 saat, turut membantu Terengganu menambah koleksi pingat emas menerusi acara berpasukan sekali gus mengulangi pencapaian pada edisi 2016.

Sementara itu, Muhamad Iqbal Daniel yang membuat penampilan kedua di pentas SUKMA selepas edisi 2022 di Kuala Lumpur berkata beliau tidak meletakkan sasaran emas dalam kategori individu memandangkan baru bertukar ke acara lebuh raya selepas acara trek tidak dipertandingkan.

“Saya asal pelumba trek, tapi tahun ini (SUKMA) tak ada acara trek jadi jurulatih lihat dan pantau prestasi saya sebelum ambil keputusan mahu saya bantu pasukan dalam acara lebuh raya. Tak sangka menang dua-dua sekali,” katanya.

Jurulatih skuad berbasikal Terengganu Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata tiga pingat emas dimenangi kem berbasikal setakat ini, termasuk menerusi Kee Zhe Yie dalam acara ujian masa individu lelaki semalam, merupakan hasil kerja keras dan latihan intensif selama berbulan-bulan sebelum SUKMA 2024.

“...dengan prestasi baik atlet mungkin kita boleh tambah pingat emas lagi sekali gus menjadikan kempen di Sarawak ini sebagai penyertaan paling cemerlang pasukan berbasikal Terengganu dalam sejarah penyertaan di SUKMA,” katanya.

Esok Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini, terus menjadi tumpuan acara berbasikal yang menawarkan dua lagi pingat emas melibatkan acara lepas beramai-ramai individu dan berpasukan wanita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan