SUKAN > BERITA

Maraton Tawau Disaran Masuk Dalam Kalendar Pelancongan Sabah

18/08/2024 08:38 PM

TAWAU, 18 Ogos (Bernama) -- Lembaga Pelancongan Sabah disaran agar memasukkan acara larian Maraton Tawau ke dalam kalendar pelancongan negeri itu kerana ia berpotensi menjadi jenama dan produk pelancongan baharu bagi daerah ini.

Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Negeri Sabah Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy berkata penganjuran edisi sulung maraton itu memahat sejarah bagi Tawau dengan penyertaan lebih 2,000 peserta dari 15 negara termasuk Kenya dan Vietnam.

"Kita akan tambah baik lagi penganjuran acara larian ini sebagai satu jenama atau produk pelancongan pada masa depan dengan sokongan semua pihak yang terlibat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Maraton Tawau 2024 di Padang Bandaran Tawau di sini hari ini.

Peserta tempatan Wilson Singgin, yang juga seorang malim gunung, mengungguli kategori Lelaki Terbuka dengan catatan masa 3 jam 13 minit manakala kategori Wanita Terbuka dimenangi oleh peserta Vietnam iaitu Cahg Nong (3 jam 25 minit).

Pelari Kenya Denis Isika pula muncul pelari terpantas bagi kategori Lelaki Veteran dengan catatan masa 2 jam 52 minit manakala bagi kategori Wanita Veteran dimenangi oleh pelari Vietnam Hien Ngu Yen (3 jam 30 minit).

Pengerusi Kelab Pelari Tawau Dulmi Mular pula optimis untuk menjadikan Maraton Tawau sebagai acara tahunan dan mengangkat daerah ini sebagai destinasi pelancongan sukan.

"Pelbagai kesan positif diperoleh daripada penganjuran acara larian ini yang menjana ekonomi setempat antaranya hotel penuh," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan