SUKAN > BERITA

Justin Tepati Ramalan Raih Emas Perseorangan Lelaki

24/08/2024 01:12 PM

SIBU, 24 Ogos (Bernama) -- Pemain perseorangan badminton kebangsaan Justin Hoh dari Wilayah Persekutuan menepati ramalan muncul pemenang pingat emas Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 selepas menewaskan wakil Pulau Pinang Ong Zhen Yi dalam aksi final yang berlangsung di Stadium Tertutup Sibu hari ini.

Pada perlawanan akhir itu, Justin tidak menghadapi sebarang masalah untuk menewaskan Zhen Yi 21-16, 21-15 yang juga rakan latihannya di Akademi Badminton Malaysia, dengan kedua-duanya merupakan pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Justin ketika ini menduduki ranking ke-68 dunia manakala Zhen Yi di kedudukan 131.

Sementara itu, pingat gangsa menjadi milik pemain Selangor Chua Kim Sheng yang menumpaskan seorang lagi wakil Wilayah Persekutuan Hooi Shao Herng 21-11, 21-15 dalam perlawanan penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam aksi perseorangan wanita, atlet tuan rumah Sarawak Wong Ling Ching menyambar emas apabila mudah mengetepikan cabaran wakil Pulau Pinang Oo Shan Zi 21-12, 21-15 dalam pentas akhir.

Shan Zi gagal meneruskan momentum kemenangan yang dilakar pada peringkat separuh akhir yang sebelum ini melakukan kejutan menewaskan pemain pilihan utama K Letshanaa dari Selangor untuk sekadar berpuas hati dengan pingat perak.

Letshanaa yang beraksi pada SUKMA terakhir meraih pingat gangsa selepas lawannya Siti Nurshuhaini Azman dari Selangor terpaksa menarik diri kerana kecederaan di set kedua pada perlawanan penentuan pingat gangsa.

Set pertama dimenangi Letshanaa 21-16, namun pada kedudukan ketinggalan 16-11 di set kedua, Siti Nurshuhaini mengambil keputusan untuk menarik diri kerana tidak mampu lagi untuk meneruskan perlawanan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan