SUKAN > BERITA

UiTM Juara SUKIPT 2024

14/09/2024 08:20 PM

ALOR SETAR, 14 Sept (Bernama) -- Universiti Teknologi MARA (UiTM) muncul juara keseluruhan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2024 di Universiti Utara Malaysia (UUM) yang berakhir hari ini.

Kejayaan meraih 38 pingat emas, 20 pingat perak dan 39 pingat gangsa membolehkan UiTM meninggalkan Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai naib juara dan Politeknik Malaysia di tempat ketiga.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) UiTM Prof Dr Mohd Sazili Shahibi berkata walaupun berkongsi kutipan emas yang sama, UiTM dinobatkan sebagai juara kerana meraih jumlah keseluruhan sebanyak 97 pingat berbanding UPM dengan 78 pingat. 

"Saingan memang sengit kerana kutipan emas UiTM dan UPM adalah sama tetapi kita berjaya mengatasi dari segi kutipan pingat perak dan gangsa..tahun lepas kita naib johan tahun ini pula kita juara dan itu sangat menggembirakan.

"Tahniah kepada semua atlet yang telah memberikan prestasi terbaik dalam acara masing-masing...tidak lupa juga kepada barisan jurulatih yang sentiasa memberi semangat kepada atlet," katanya.

Beliau berkata pihak pengurusan akan mempertimbangkan imbuhan kepada semua atlet terlibat yang telah banyak berkorban masa dan tenaga dalam memastikan kejayaan universiti itu. 

Terdahulu, Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) Datuk Seri Dr Zaini Ujang merasmikan majis penutup SUKIPT 2024 yang diadakan di Dewan Muadzam Shah, UUM hari ini.

Sebanyak 6,148 atlet daripada 74 kontinjen merangkumi universiti awam, swasta, politeknik, kolej komuniti serta Institut Pendidikan Guru (IPG) berentap bagi merebut 231 pingat emas melalui 28 acara sukan di kesemua 23 gelanggan pertandingan.

SUKIPT 2024 yang bermula pada 6 Sept lepas, turut melakar sejarah kerana buat pertama kali sejak penganjurannya pada 2012, sebanyak enam rekod kebangsaan berjaya dipecahkan melalui sukan kayak melibatkan enam acara dan lapan atlet yang membawa pulang habuan wang berjumlah RM20,000 secara bersama.

Selain itu, 24 rekod kejohanan dipecahkan melibatkan 15 rekod di lapangan memanah iaitu lapan acara compund dan tujuh bagi recurve, selain sembilan rekod di gelanggang olahraga. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan