SUKAN > BERITA

LTdL 2024: Misi Hatrik Raja Bukit Nur Aiman Zariff

28/09/2024 03:20 PM

LANGKAWI, 28 Sept (Bernama) -- Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG) Muhammad Nur Aiman Mohd Zariff mengintai peluang menyambar gelaran Raja Bukit buat kali ketiga pada perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 yang akan memulakan saingan esok.

Beliau yang meraih gelaran itu pada edisi 2020 dan 2022 bagaimanapun menyedari misinya dalam memburu jersi polka dot (Raja Bukit) pada LTdL edisi ke-28 tahun ini bukan mudah memandangkan beberapa pelumba pilihan turut mencongak peluang yang sama.

“Ya sudah tentu saya ada menyimpan hasrat untuk kembali memegang status sebagai Raja Bukit pada perlumbaan LTdL kali ini selepas terlepas peluang mempertahankannya tahun lepas.

“Tetapi saya harus akui sasaran untuk memenangi gelaran Raja Bukit bukannya senang. Semua itu bergantung kepada strategi dan kondisi tubuh badan pada hari perlumbaan itu nanti,” katanya ketika ditemui.

Nur Aiman Zariff, 26, memenangi gelaran Raja Bukit buat kali pertama dalam kariernya di pentas LTdL ketika bersama Team Sapura Cycling (TSC) yang kini dikenali sebagai Malaysia Pro Cycling Team (MPC).

Selepas LTdL tidak diadakan pada 2021 ekoran wabak COVID-19, pelumba kelahiran Setiu, Terengganu itu berjaya mempertahankan jersi polka dot LTdL 2022 ketika mewakili TSG.

Bagaimanapun, beliau terpaksa akur terlepas jersi itu pada edisi 2023 apabila dirampas pelumba pasukan Pro Team dari Switzerland, Tudor Pro Cycling Team, Simon Pellaud.

Bagi edisi tahun ini, Nur Aiman Zariff sekali lagi dijangka menerima saingan sengit Pellaud yang disahkan turut berada dalam senarai pasukan Tudor.

“Kadangkala semua itu juga bergantung kepada rezeki, Jika ada… insya-Allah, adalah rezeki saya nanti. Saya tidak mahu terlalu mengharap (memenangi jersi polka dot).

“Apapun saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam setiap peringkat perlumbaan. Kita pun tahu kali ini tiada peringkat perlumbaan ke Genting Higlands, tetapi masih ada lagi banyak zon pendakian.

Selain Nur Aiman Zariff, TSG mempertaruhkan lima pelumba lain yang terdiri daripada pakar pecut Mohd Harrif Saleh, Nur Amirull Fakhruddin Mazuki, Muhammad Nur Aiman Rosli dan dua pelumba import - Andreas Miltiadis serta Anatolli Budiak.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan