SUKAN > BERITA

Perak Jadikan Sri Pahang Mangsa Seterusnya, Gol Terpantas Fernandez Julang Selangor

29/09/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Perak FC memanjat ke posisi keempat Liga Super selepas meneruskan momentum kemenangan dengan menjinakkan Sri Pahang FC 3-0 pada perlawanan di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh malam ini.

Pasukan pelawat kendalian Yusri Che Lah itu bagaimanapun terpaksa menunggu sehingga lewat separuh masa pertama untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan kencang ketua pasukan Luciano Guaycochea pada minit ke-43 berpunca sepakan sudut diambil Tommy Mawat Bada.

Guaycochea meledak gol peribadi keduanya hanya tiga minit selepas babak kedua bersambung setelah melepaskan rembatan yang gagal diselamatkan Muhammad Azfar Arif Mohd Sukri di gawang.

Perak kemudian merobek gawang Sri Pahang buat kali ketiga melalui sepakan deras Muhammad Firdaus Saiyadi pada minit ke-61 dan kedudukan 3-0 kekal sehingga wisel penamat dibunyikan sekali gus mengesahkan kemenangan ketiga berturut-turut skuad The Bos Gaurus.

Kejayaan membawa pulang tiga mata itu membolehkan Perak naik tiga anak tangga daripada posisi ketujuh untuk mengumpul keseluruhan 15 mata selepas 10 perlawanan, hanya dibezakan satu mata dengan pasukan ketiga Terengganu FC yang turut telah mengharungi jumlah aksi sama.

Sementara itu, satu lagi pertembungan menyaksikan Selangor FC mencatat kemenangan berharga selepas mengatasi Terengganu 1-0 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah pasukan tuan rumah di laman sendiri dalam lima perlawanan.

Penyerang kelahiran Chile, Ronnie Fernandez mencipta sensasi tersendiri apabila meledak gol kemenangan seawal 27 saat untuk mengejutkan Terengganu yang masih belum ‘panas’.

Jaringan diperoleh selepas Fernandez menyudahkan hantaran dekat Alvin Fortes untuk menewaskan penjaga gol, Suhaimi Husin.

Selangor bimbingan Mohd Nidzam Jamil hampir menambah jaringan, namun rembatan dari luar kotak Ali Iyad Olwan sekadar melepasi palang gol pada minit ke-20.

Terengganu memiliki peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-32 tetapi rembatan dari luar kotak penalti Manuel Ott sedikit tinggi melepasi palang.

Bersambung babak kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan dan menggandakan asakan, namun tiada gol berjaya dihasilkan.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi posisi Selangor di tempat kedua dengan mengumpul 25 mata selepas 11 perlawanan, enam mata di belakang pendahulu Johor Darul Ta’zim (JDT) dan sembilan mata di depan Terengganu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan