SUKAN > BERITA

LTdL 2024: Tarozzi Tawan Kulai

04/10/2024 04:08 PM

KULAI, 4 Okt (Bernama) -- Pelumba Itali Manuel Tarozzi memanfaatkan laluan landai hari ini apabila muncul juara peringkat keenam Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Batu Pahat ke Kulai, Johor sejauh 123.4 kilometer (km) hari ini.

Pelumba dari pasukan  VF Group-Bardiani-CSF-Faizane itu yang membuat pemecahan pada satu kilometer terakhir dan diekori rapat Stefan de Bod dari pasukan EF Education-Easypost, terlebih dahulu tiba di garisan penamat dengan catatan 2 jam 28 minit 58 saat (s).

Tempat ketiga dimenangi juara peringkat keempat dan kelima, Arvid dr Kleijn dari Tudor Pro Cycling Team yang ketinggalan 0.09s.

"Selepas melakukan pemecahan, Bod yang mempunyai kekuatan luar biasa cuba mengejar dan mengekori rapat saya tapi pada 300 meter (m) terakhir saya tingkatkan pecutan terus ke garisan penamat,” kata pelumba berusia 27 tahun itu.

Keputusan dicatatkan hari ini sekali gus menyaksikan de Kleijn kembali merampas Jersi Jingga (Raja Pecut) daripada pelumba JCL Team UKYO, Matteo Malucelli.

Pelumba DSM-Firmenich PostNL, Max Poole  kekal dengan Jersi Hijau (pendahulu keseluruhan) dengan catatan masa terkumpul 19:02.04s, diikuti Thomas Pesenti dari JCL Team UKYO (+0.14s).

Jersi Polka Dot (Raja Bukit) kekal milik pelumba BH Burgos, Mario Aparicio Munoz dengan 27 mata, diikuti rapat Poole dengan 22 mata dan ketiga pelumba Astana Qazaqstan Team, Anthon Charmig dengan 12 mata.

Pelumba JCL Team UKYO, Manabu Ishibashi mengekalkan Jersi Putih (pelumba Terbaik Asia) dengan 19:04.21s, meninggalkan rakan sepasukan Yuma Koishi (+2.41s) manakala Keigo Kusaba dari Aisan Racing Team ketiga (+2.45s).

Perlumbaan peringkat ketujuh beralih ke Sarawak esok, membabitkan laluan terpanjang 199.3km dari Miri ke Bintulu, menawarkan tiga zon pecutan di Suai, Nyalau dan Kidurong serta satu zon pendakian kategori empat di Bintulu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan