SUKAN > BERITA

Zii Jia Tarik Diri Terbuka Denmark Akibat Kecederaan Buku Lali

15/10/2024 12:17 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki profesional negara Lee Zii Jia terpaksa menarik diri daripada kejohanan Terbuka Denmark yang bermula hari ini hingga Ahad (15-20 Okt) di Odense, akibat kecederaan buku lali.

Pihak pengurusan atlet berusia 26 tahun itu Team LZJ dalam kenyataan di media sosial memaklumkan Zii Jia mengalami kecederaan semasa perlawanan suku akhir Terbuka Artik minggu lepas, yang menyaksikan beliau tewas 15-21, 21-13, 12-21 kepada pemain Jepun, Koki Watanabe, selepas 66 minit bertarung.

"Sejurus tiba di Odense pada Ahad, harapan dan perancangan (kami) masih untuk Zii Jia menyertai Terbuka Denmark meskipun dilanda kecederaan.

"Zii Jia turun ke gelanggang pada Isnin, namun rasa tidak selesa pada sekitar buku lali menghalangnya daripada beraksi pada tahap kualiti perlawanan. Selepas pertimbangan lanjut, dengan hati yang berat, Zii Jia memutuskan untuk menarik diri daripada kejohanan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Pemain nombor empat dunia itu sepatutnya bertemu pemain Jepun, Kenta Nishimoto dalam pusingan pembukaan kejohanan Jelajah Dunia Super 750 tersebut di Arena Fyn hari ini.

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dalam kenyataan berasingan mengumumkan pemain Indonesia Anthony Sinisuka Ginting akan bertemu Nishimoto susulan penarikan diri Zii Jia, manakala pemain Denmark Mads Christophersen dinaikkan ke undian utama.

Zii Jia menamatkan kejohanan tahun lepas sebagai naib juara setelah tewas kepada Weng Hong Yang dari China, 12-21, 6-21.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan