SUKAN > BERITA

Suri Teladan Penting Dalam Membentuk Atlet, Pemimpin Sukan Wanita Berjaya - Sharon

21/10/2024 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Kemunculan suri teladan atau role model yang boleh dicontohi dalam industri sukan sangat penting, kerana ia mampu menjadi pendorong kepada kelahiran lebih ramai atlet dan pemimpin sukan wanita berjaya, kata bekas pemain skuasy negara Sharon Wee.    

Sharon yang juga Timbalan Presiden Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM) berkata legenda sukan seperti Datuk Nicol Ann David dan beberapa atlet wanita lain terbukti mampu menjadi sumber inspirasi, sekali gus menyumbang kepada kelahiran lebih ramai atlet berbakat. 

“Kita dapat lihat contoh (dalam sukan skuasy) daripada Nicol Ann David, saya sendiri, Low Wee Wern, dan kini Sivasangari, Aifa serta Aira Azman - semuanya berjaya kerana adanya suri teladan yang kuat.

“Ini sangat penting kerana ia memberikan keyakinan kepada atlet wanita bahawa mereka mampu mencapai kejayaan, sama ada sebagai atlet mahupun pemimpin sukan,” katanya ketika ditemui pada Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan 2024 di sini hari ini.

Beliau berkata peranan wanita sebagai pemimpin dan pentadbir dalam bidang sukan juga harus dihargai kerana mereka mempunyai kekuatan tersendiri termasuk kemampuan untuk memahami emosi atlet secara mendalam.

Selain itu, Sharon turut menasihati para atlet agar bijak menguruskan penggunaan media sosial supaya mereka boleh memberi fokus kepada matlamat dan emosi mereka tidak terganggu.

“Media sosial kini adalah sebahagian daripada realiti kehidupan, dan kita tidak boleh mengelaknya. Oleh itu, atlet perlu bijak mengurus platform media sosial mereka dan kekal fokus terhadap matlamat utama, agar prestasi di gelanggang tidak terjejas,” katanya.

Seminar Wanita Dalam Sukan Kebangsaan 2024 yang berlangsung hari ini dan esok, bertujuan menyediakan platform untuk penggiat sukan wanita serta atlet wanita berkumpul, berkongsi pengalaman serta memberikan motivasi dan sokongan bagi memajukan sukan negara.

-- BERNAMA 



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan