SUKAN > BERITA

MSN Lulus 32 Pemain Sepak Takraw Untuk Program Podium 2025 - PSM

26/12/2024 03:01 PM

KUALA LUMPUR, 26 Dis (Bernama) -- Majlis Sukan Negara (MSN) telah meluluskan seramai 32 pemain sepak takraw untuk Program Podium 2025, sebagai persediaan menghadapi beberapa kejohanan dan temasya penting dalam tempoh dua tahun akan datang.

Setiausaha Agung Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) Datuk Abidullah Salleh berkata kesemua 21 atlet lelaki dan 12 atlet wanita itu dijadualkan untuk melaporkan diri di MSN pada 2 Jan ini.

PSM sebelum ini memohon kepada MSN untuk mempertimbangkan peningkatan kuota pasukan lelaki daripada 18 atlet kepada antara 21 hingga 24 atlet.

“Sesi pemilihan dan pemantauan telah dijalankan oleh barisan kejurulatihan skuad kebangsaan berdasarkan prestasi semasa atlet semasa Kejohanan Piala Emas Khir Johari 2024, Sepak Takraw League (STL), dan Piala Tun Ali 2024 untuk pasukan lelaki.

“Bagi skuad wanita, pemilihan dilakukan semasa Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak, Piala Tun Ali 2024, serta sesi pemilihan yang berlangsung dari 9 hingga 13 Disember di MSN Bukit Jalil,” katanya dalam kenyataan.

Antara cabaran utama yang bakal ditempuhi oleh pasukan kebangsaan adalah Sukan SEA Thailand pada Disember depan, Piala Asia 2025, Kejohanan Sepaktakraw Piala Raja Thai 2025 dan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun.

Berdasarkan senarai yang dikeluarkan oleh PSM, skuad lelaki dibarisi oleh tujuh tekong termasuk Mohammad Syahir Mohd Rosdi, lapan apit kanan dan enam apit kiri, manakala pasukan wanita terdiri daripada masing-masing empat tekong, apit kanan dan apit kiri.

Sebanyak 10 pingat emas akan dipertaruhkan dalam acara sepak takraw (termasuk chinlone) di Sukan SEA 2025, sementara lapan pingat emas menjadi sasaran di Sukan Asia 2026.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan