SUKAN > BERITA

Cemerlang Di SUKMA 2024, Muhammad Dhuha Terima Durian Runtuh RM41,000

23/10/2024 10:04 PM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) --erenang meningkat naik negara Muhammad Dhuha Zulfikry menerima wang ganjaran terbanyak dalam kalangan atlet Wilayah Persekutuan berjumlah RM41,000 selepas mempamerkan aksi cemerlang di Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024, Ogos lalu.

Ia selepas atlet berusia 16 tahun itu cemerlang di Sarawak apabila membolot enam pingat emas dan dua perak, selain turut memecahkan empat rekod SUKMA, sekali gus dinobatkan sebagai Atlet Lelaki Terbaik Wilayah Persekutuan.

Muhammad Dhuha berkata ganjaran itu bakal menjadi tonik tambahan buatnya untuk terus menampilkan prestasi cemerlang terutamanya pada Sukan SEA Thailand tahun depan.

“Saya rasa amat bangga dengan pencapaian saya dan gembira kerana menjadi atlet yang meraih insentif paling terbanyak di Wilayah Persekutuan dan saya harap pada SUKMA yang akan datang, saya mampu mengekalkan kejayaan seperti ini.

Mengenai jumlah ganjaran yang saya dapat ini, saya tak fikir lagi dan akan simpan dahulu,” katanya pada Majlis Penyampaian Insentif Kemenangan Kontinjen Wilayah Persekutuan di Dewan Seri Siantan, Perbadanan Putrajaya di sini hari ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa yang memberikan insentif kemenangan sebanyak RM1,443,400 kepada 353 atlet, 50 jurulatih dan 27 pengurus pasukan.

Sukan renang menerima insentif terbesar apabila memperoleh RM200,100 setelah berjaya memenangi 16 pingat emas, lapan perak dan tujuh gangsa diikuti gimrama yang membawa pulang RM90,000 setelah menyapu bersih kesemua tujuh pingat emas.

Kontinjen Wilayah Persekutuan memenangi 75 emas, 65 perak dan 73 gangsa, di belakang tuan rumah yang meraih 76 emas, 55 perak dan 70 gangsa.

Kejayaan tersebut membaiki pencapaian SUKMA MSN 2022 apabila berada di tempat ketiga dengan kutipan 55 emas, 68 perak, dan 64 gangsa.

Imbuhan berkenaan berdasarkan insentif RM6,000 untuk pemenang emas, RM2,500 untuk perak dan RM1,300 untuk gangsa bagi kategori individu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan