SUKAN > BERITA

Wooi Yik Masih Harap Layak Ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir 2024

23/10/2024 10:47 PM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Soh Wooi Yik masih memasang harapan untuk beraksi bersama pasangannya Aaron Chia Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 di Hangzhou, China, Disember ini.

Bagaimanapun Wooi Yik mengakui mereka bakal berdepan cabaran sukar apabila perlu memastikan ranking jelajah dunia mereka berada di kelompok kelapan terbaik tatkala beregu itu kini berada di kedudukan ke-12.

Berdasarkan ranking jelajah dunia, beregu Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani di kedudukan ketiga dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun di ranking ketujuh.

Hanya dua beregu negara yang berada di ranking lapan terbaik akan layak beraksi di Hangzhou.

Apatah lagi Wooi Yik berkata beliau berada di tahap yang kurang baik terutamanya selepas pemain berusia 26 tahun itu baru sahaja pulih daripada retak tulang jari kaki kanan yang dialami ketika Olimpik Paris Ogos lalu dan perlu mendapatkan semula rentak permainan ketika ini.

“Kalau boleh kita pun harap boleh layak ke final jelajah dunia. Tinggal dua ke tiga kejohanan sebelum ke Hangzhou dan kejohanan kita sertai tahun ini tak banyak. Jadi mata memang sudah kurang. Apa-apa pun kita tak mahu paksa diri sendiri.

“Hanya mahu dapat semula rentak. Badan saya perlu untuk sesuaikan sebab sebelum ke Eropah saya hanya berlatih dua minggu, mungkin kecergasaan belum berada di puncak,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak kepada atlet Wilayah Persekutuan di sini hari ini. 

Pemain kelahiran Kuala Lumpur itu berkata hanya berbaki tiga kejohanan untuknya mengumpul mata bagi melayakkan diri ke Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF  2024 iaitu TMasters Korea, Masters Jepun dan Masters China masing-masing pada November ini.

Minggu lalu, Aaron-Wooi Yik tewas di tangan gandingan China Chen Bo Yang-Liu Yi 20-22, 15-21 pada aksi suku akhir Terbuka Denmark di Odense selepas mereka menamatkan saingan Terbuka Artik di pusingan kedua pada 10 Okt lepas. 

Pada majls hari ini Wooi Yik menerima durian runtuh berjumlah RM50,000 dari Wilayah Persekutuan  atas kejayaan memenangi gangsa pada Sukan Olimpik 2024 di Paris.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan