SUKAN > BERITA

Ketersediaan Pemain Jadi Perhatian Nidzam Sebelum Selangor Bertemu JDT

24/10/2024 02:27 PM

KUALA LUMPUR, 24 Okt (Bernama) -- Sesi pemulihan dan rehat yang secukupnya menjadi fokus Selangor FC menjelang pertemuan dengan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada aksi tumpuan Liga Super 2024/2025 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Ahad ini.

Ketua Jurulatih Selangor Nidzam Jamil berkata perhatian kini terarah kepada ketersediaan pemain untuk bertemu JDT selepas pasukannya berjaya menewaskan Jeonbuk Hyundai Motors FC dari Korea Selatan pada aksi Kumpulan H Liga Juara-Juara Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2 (ACL2), semalam.

“Kebimbangan saya adalah mengenai ketersediaan pemain keranan malam ini boleh nampak bukan kita saja, pasukan lawan (Jeonbuk) pun ada yang kejang dan cedera...jadi yang paling penting sekarang proses pemulihan pemain untuk beberapa hari ini.

“Untuk perlawanan minggu ini (bertemu JDT) kita cuba bagi yang terbaik,” katanya pada sidang media selepas kemenangan 2-1 Selangor ke atas Joenbuk di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Kemenangan semalam membolehkan Selangor merampas kedudukan teratas Kumpulan H dan terus mengekalkan rekod kemenangan di tempat sendiri dalam semua pertandingan musim ini.

Pertembungan Selangor dan JDT menjadi perlawanan tumpuan selepas kedua-dua pasukan ketika ini menduduki dua tempat teratas Liga Super dengan dipisahkan lima mata, namun JDT kurang satu perlawanan berbanding Selangor yang telah beraksi 12 perlawanan.

Ogos lepas, JDT membelasah Selangor 6-1 pada perlawanan akhir Piala FA musim ini yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini.

Kedua-dua pasukan dijadual bertemu dalam aksi pembukaan musim, perlawanan Sumbangsih Mei lepas namun aksi yang sepatutnya berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor itu dibatalkan susulan penarikan diri Selangor dan kemenangan walkover diberikan kepada JDT.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan