SUKAN > BERITA

SPRM Cipta Sejarah Muncul Juara Piala Emas Raja-raja 2024

28/10/2024 10:40 AM

MELAKA, 28 Okt (Bernama) -- Penampilan kali ketiga pasukan SPRMAceiO dalam saingan Piala Emas Raja-Raja (PERR) tahun ini telah mengukir sejarah tersendiri apabila merangkul gelaran juara.

Ketua Jurulatihnya Mohd Khalid Shadan berkata persediaan rapi dilakukan skuad bimbingannya sempena edisi ke-102 itu nyata berhasil walaupun ketinggalan pada babak pertama tetapi berjaya bangkit memenangi perlawanan akhir dengan jaringan 2-1 menewaskan Bomba FC malam tadi.

Bekas pemain kebangsaan era 80-an itu berkata kejayaan tersebut adalah pencapaian paling bermakna kepada kelabnya kerana pada penyertaan dua edisi sebelum ini, SPRM tidak pernah memenangi sebarang perlawanan dalam peringkat kumpulan.

"Syukur, Alhamdulillah atas kejayaan ini... pada tahun ini juga kita membuat persiapan lebih baik dan semua pemain bermain bermati-matian hingga kami berjaya menyaingi lawan.

"Walaupun di babak pertama mereka memilih untuk bertahan namun selepas waktu rehat pemain mendengar nasihat dan arahan untuk menterjemahkan seperti apa yang dikendaki," katanya kepada pemberita selepas perlawanan malam tadi.

Terdahulu dalam aksi di Stadium Hang Jebat, Krubong itu SPRM meraih gol menerusi Ahmad Basheer Anas Shamsuri pada minit ke-63 dan 81 manakala jaringan tunggal Bomba FC dihasilkan oleh Muhammad Aidil Syazran Sukarno pada minit ke-34.

Sementara itu, pengendali Bomba FC Mazerul Mohd Mohayudin berkata walaupun rezeki tidak menyebelahi pasukannya namun beliau bersyukur dan berbangga dengan semangat juang dipamerkan anak buahnya itu.

"Ini perlawanan akhir pertama kami dalam penyertaan kali ketiga pada Piala Emas Raja-Raja... walaupun tidak menang saya berbangga dengan pasukan ini," katanya.

Kejayaan SPRM mencatat satu lagi rekod selaku bukan pasukan negeri memenangi Piala Emas Raja-Raja seperti dilakukan Majlis Sukan India Malaysia pada 2019.

SPRM membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 selaku juara manakala Bomba FC memenangi RM30,000 dan hadiah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.

Pada edisi ke-102 itu Melaka buat julung kalinya menjadi tuan rumah dengan melibatkan sebanyak 16 pasukan bertanding termasuk tiga pasukan jemputan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan