SUKAN > BERITA

Liga Super: Sabah Belasah Penang 4-0 Di Stadium Bandaraya

26/10/2024 12:01 AM

KUALA LUMPUR, 25 Okt (Bernama) -- Sabah FC meneruskan saingan Liga Super 2024/2025 dengan bergaya apabila berjaya membawa pulang tiga mata dengan membelasah tuan rumah Penang FC 4-0 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang, malam ini.

Ketiadaan kelibat ketua jurulatih Akmal Rizal Ahmad Rakhli yang direhatkan nyata memberi kesan terhadap corak permainan tuan rumah apabila gawang mereka dibolosi seawal minit kedua permainan hasil rembatan kaki kiri penyerang Sabah FC Saddil Ramdani.

Gol kedua pasukan pelawat hadir hanya empat minit kemudian, kali ini melalui pemain pertahanan Gabriel Peres yang memanfaatkan sepakan percuma dengan Stuart Wilkin kemudian menambah gol ketiga pada minit ke-35 dengan rembatan dari luar kotak penalti.

Babak kedua menyaksikan Sabah FC di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee, terus berpesta gol apabila kapten pasukan Dominic Tan menambah jaringan keempat untuk memastikan kemenangan bergaya.

Kejayaan malam ini membolehkan Sabah FC naik satu anak tangga ke kedudukan ketiga dengan 20 mata di belakang Selangor FC (26 mata) dan Johor Darul Ta'zim (31 mata) yang masih mengungguli takhta Liga Super musim ini.

Sementara itu, di Stadium Darul Aman, tuan rumah Kedah Darul Aman FC (KDA FC) seri 1-1 dengan PDRM FC .

KDA FC mendahului melalui jaringan Jose Cleyton pada minit ke-28.

Bersambung separuh masa kedua, PDRM pula menyamakan kedudukan menerusi Aremu Timothy pada minit ke-56 yang gagal ditepis keluar penjaga gol Mohd Ifwat Akmal.

Di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh pula, pertembungan antara Sri Pahang FC dan Kelantan Darul Naim (KDN) FC turut berakhir dengan keputusan seri 1-1.

Brandao Dos Santos meletakkan KDN FC selaku tuan rumah di Temerloh di hadapan pada minit ke-21 sebelum Adam Nor Azlin menyamakan kedudukan skuad Tok Gajah pada minit ke-60.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan