KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Setelah tujuh tahun tidak berpeluang meraikan Deepavali bersama keluarga, pemain beregu wanita negara, M. Thinaah akhirnya dapat menyambut perayaan tersebut dengan keluarganya pada tahun ini.
Menyifatkan peluang ini sebagai "peluang keemasan," atlet berusia 26 tahun itu berkata beliau akan memanfaatkan sambutan Deepavali bersama keluarganya yang kini menetap di Klang, Selangor.
Sebelum ini, beliau terpaksa berjauhan ketika perayaan ini kerana memberi fokus pada kejohanan antarabangsa.
"Deepavali tahun ini sangat istimewa bagi saya sebab tarikhnya sesuai (tiada kejohanan). Selalunya, jika Deepavali saya akan raikan bukan pada tarikh sebenar, sama ada awal atau lambar.
"Jadi, tahun ini saya berada di Kuala Lumpur dan dapat pulang ke rumah untuk menyambutnya. Saya sangat menghargai dan bersyukur," katanya dalam audio yang dikongsikan oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini.
Mengimbas kembali pengalaman semasa sambutan Deepavali terdahulu, Thinaah berkata antara kenangan yang tidak dapat dilupakan ialah pada tahun 2022 apabila beliau meraikannya di perantauan kerana komitmen menyertai kejohanan Terbuka Perancis.
Beliau menjelaskan bahawa pada masa itu, beliau hanya dapat menyambut perayaan tersebut bersama rakan-rakan dengan mengadakan jamuan kecil dan mengenakan pakaian baharu di negara Eropah itu.
Namun, beliau berkata pengorbanan yang dilakukannya berbaloi apabila berjaya memenangi Terbuka Perancis pada tahun tersebut, sekali gus menjadi beregu wanita pertama negara yang memenangi kejohanan tersebut.
"Waktu itu, kawan-kawan turut membantu meraikan Deepavali di Perancis dengan mengadakan makan bersama saya dan membawa pakaian baharu. Apabila kami memenangi Terbuka Perancis, rasanya agak berbeza. Saya tahu saya mengorbankan Deepavali, tetapi semuanya berbaloi," katanya.
Sambutan Deepavali diraikan oleh penganut agama Hindu Khamis ini.
--BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial