KUALA LUMPUR, 30 Okt (Bernama) -- Sukan boling padang yang menjadi lubuk emas Malaysia, disahkan tidak akan dipertandingkan pada Sukan SEA Thailand 2025.
Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM) Datuk Awalan Abdul Aziz berkata keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) yang diadakan di Thailand pada 25 Okt.
Beliau berkata pihaknya kecewa dengan keputusan itu memandangkan Thailand mempunyai kemudahan yang baik apabila pernah menganjurkan Kejohanan Boling Padang Asia di Pattaya, Mac lepas.
“Kami sudah berusaha sedaya upaya untuk memastikan boling padang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025 dan ia juga mendapat sokongan daripada beberapa negara lain.
“Walau bagaimanapun apabila dibentangkan dalam mesyuarat 25 Okt, Thailand menyatakan mereka tidak bersedia jadi tuan rumah acara boling padang. Kita tidak mampu berbuat apa-apa kerana mereka adalah tuan rumah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sebelum ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyatakan hasrat mengemukakan rayuan agar boling padang dipertandingkan di Sukan SEA Thailand 2025 selepas sukan itu tidak disenaraikan sebelum ini.
Kali terakhir boling padang dipertandingkan adalah pada temasya Sukan SEA ketika edisi 2019 di Filipina dengan skuad negara meraih empat pingat emas dan dua gangsa daripada enam acara dipertandingkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial