SUKAN > BERITA

Bintang Remaja Nur Mecca Mahu Wakil Malayan Tigress, Raih Kecemerlangan

06/11/2024 02:18 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Walaupun mewakili skuad kebangsaan merupakan impian sejak kecil, bintang muda bola sepak wanita negara yang sedang mencipta nama di Amerika Syarikat (AS) Nur Mecca Rania Mohd Hazri tidak mahu detik itu direalisasikan secara terburu-buru.

Sebaliknya, penyerang berbakat yang mula beraksi untuk negara sejak berusia 12 tahun itu percaya peluang untuk bersama pasukan senior pasti tiba jika beliau terus bekerja keras dan berdisiplin.

Penyerang berusia 19 tahun itu berkata apa yang penting ketika ini adalah menimba seberapa banyak pengalaman dan meraih kemajuan dalam permainan dari semasa ke semasa sekali gus mempersiapkan diri berdepan cabaran hebat di pentas senior.

“Itu sasaran (bermain untuk pasukan senior), kalau dapat panggilan ia suatu pencapaian yang besar tapi saya juga percaya kalau ada rezeki, ada...sebelum itu berlaku, saya mahu mengambil lebih banyak inisiatif untuk memperbaiki diri seperti mendalami permainan dan bagaimana saya patut bermain dalam posisi saya," kata penuntut Iowa Lakes Community College itu kepada Bernama.

Sebelum ini Nur Mecca telah membuat penampilan bersama pasukan kebangsaan bawah 15 tahun (B-15), bawah 18 (B-18) dan bawah 19 (B-19) Malayan Tigress dalam pertandingan antarabangsa.

Baru-baru ini beliau telah membanggakan negara dengan membantu Iowa Lakes meraih gelaran sulung Kejuaraan Wilayah 11 di Waterloo, Amerika Syarikat, 3 Nov lepas.

Dalam final itu, beliau menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan dikenali sebagai The Lakers itu meraih kemenangan 5-4 menerusi sepakan penalti ke atas Hawkeye Community College, selepas perlawanan berkesudahan 1-1 dalam aksi yang berlanjutan ke masa tambahan.

Bukan itu sahaja, beliau turut mencipta pencapaian cemerlang dengan merangkul tiga anugerah - pemain penyerang terbaik kejohanan dan keseluruhan kejohanan (Offensive Player of the Tournament, All-Tournament) dan pemain paling bernilai (MVP).

Sementara itu, Nur Mecca menasihati pemain muda wanita supaya tidak cepat berputus asa dalam mengejar cita-cita khususnya dalam bola sepak.

“Semuanya boleh dicapai kalau anda tetapkan sasaran, pasang impian besar, anda tidak tahu apa yang anda boleh capai, tiada batasan pada suatu impian dan insya-Allah kalau ada sokongan dari orang lain (keluarga) peluang itu mesti datang,” katanya.

Setelah menjaringkan 12 gol dan melakukan lapan bantuan jaringan musim ini, beliau kini fokus untuk memimpin pasukannya meraih satu lagi pencapaian iaitu layak ke Kejohanan Kebangsaan NJCAA menerusi Plains District Championship apabila mereka berdepan dengan pemenang District 13 pada 9 Nov ini.

Nur Mecca bukan sahaja pelajar cemerlang di padang malah di luar padang, apabila mencatatkan purata nilai gred kumulatif (PNGK) 4.00 dalam dua semester pertama ijazahnya dalam bidang pengajian seni am (Arts-General Studies) dengan perancangan untuk memilih sama ada Sains Komputer atau Kewangan sebagai pengkhususan tahun depan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan