SUKAN > BERITA

PSM Dalam Proses Buka Akaun Bank Khas

10/11/2024 09:57 PM

KUALA LUMPUR, 10 Nov (Bernama) -- Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) dalam proses membuka akaun bank khas seperti diminta Kementerian Belia dan Sukan (KBS), bagi memudahkan urusan menerima dana kerajaan.

Presiden PSM Datuk Mohd Sumali Reduan berkata pihaknya menyambut baik usaha KBS, yang membolehkan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) mengurus sendiri dana diberikan kerajaan. 

“Sebelum ini ia diurus Majlis Sukan Negara (MSN) dan ini satu cadangan yang baik, kita memang setuju 100 peratus. Cumanya persatuan perlu tahu berapa bajet sebenar diperlukan,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa tertinggi PSM di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dilaporkan berkata terdapat beberapa PSK yang enggan membuka akaun bank khas seperti diminta sebagai syarat utama menerima kemasukan dana daripada kerajaan.

Mohd Sumali berkata beliau akan berbincang dalam mesyuarat jawatankuasa kerja MSN tidak lama lagi bagi memperincikan jumlah dana diperlukan PSM, yang bergantung kepada berapa banyak kejohanan atau program pembangunan diperlukan.

Dalam pada itu, Mohd Sumali berkata rombakan besar-besaran skuad wanita kebangsaan akan dilakukan termasuk mengadakan proses pemilihan, bagi memastikan hanya pemain yang benar-benar layak terpilih menggalas cabaran ke peringkat antarabangsa.

Beliau berkata terdapat pemain yang menonjol di peringkat daerah namun tidak berpeluang mewakili skuad kebangsaan susulan komitmen keluarga atau sukar mendapat pelepasan majikan dan perkara itu akan diperhalusi pihaknya.

Sementara itu, Mohd Sumali berkata PSM akan menganjurkan Piala Tun Ali di Melaka dari 2 hingga 8 Dis ini, melibatkan penyertaan 20 pasukan negeri dan kelab dengan wang hadiah kemenangan kejohanan itu ditambah kepada RM15,000 untuk acara regu dan RM10,000 bagi beregu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan