SUKAN > BERITA

WAKIL DENMARK SEKAT IMPIAN JUARA SZE FEI-NUR IZZUDDIN

15/12/2024 09:46 PM

KUALA LUMPUR, 15 Dis (Bernama) -- Beregu lelaki profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani terlepas peluang untuk menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi gelaran pada Kejohanan Jelajah Dunia Akhir BWF 2024 apabila tewas kepada wakil Denmark di pentas final di Hangzhou, China, malam ini.

Pada perlawanan di Gimnasium Olimpik Hangzhou, hasrat gandingan nombor tujuh dunia itu untuk mencipta kejutan tidak kesampaian selepas akur dengan kehebatan Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, 17-21, 21-17, 11-21 dalam tempoh 65 minit.

Perlawanan akhir Sze Fei-Nur Izzuddin bermula dengan langkah serba salah apabila mereka tertekan dengan saingan pasangan Denmark itu, ketinggalan 1-4 pada awal permainan sebelum tunduk 17-21 dalam tempoh 23 minit.

Walaupun mendahului 4-0 dengan selesa pada set kedua, pasangan negara berdepan detik cemas apabila beberapa kesilapan mudah membolehkan pasangan lawan, yang menduduki ranking ketiga dunia, menyamakan kedudukan 11-11.

Namun, momentum dengan cepat beralih kepada Sze Fei-Nur Izzuddin yang memperkemaskan rentak serangan yang mantap untuk mendahului 17-12 dan menutup set kedua dengan kemenangan 21-17, memaksa perlawanan diheret ke set penentuan.

Pada set penentuan, saingan sengit berlaku apabila kedudukan terikat 3-3, namun keadaan tidak berpihak kepada Sze Fei-Nur Izzuddin apabila mereka hilang fokus dan pasangan Denmark itu mula melebarkan jurang kepada 11-7, kekal tenang untuk memastikan gelaran menjadi milik mereka dengan 21-11.

Keputusan itu menyaksikan Astrup-Rasmussen berjaya meneruskan rekod cemerlang mereka dengan lapan kemenangan daripada 10 pertemuan menentang Sze Fei-Nur Izzuddin.

Gelaran juara menyaksikan Astrup-Rasmussen membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah AS$210,000 (RM934,000), manakala Sze Fei-Nur Izzuddin selaku naib meraih wang tunai berjumlah AS$100,000 (RM445,000).

Walaupun tewas, Sze Fei-Nur Izzuddin, yang membuat penampilan sulung pada kejohanan penutup musim itu, menikmati perjalanan paling gemilang dalam kerjaya mereka selepas merangkul tiga gelaran Jelajah Dunia iaitu Terbuka Jepun, Terbuka China, dan Terbuka Artik musim ini.

Mengulas prestasi mereka, Sze Fei mengakui bahawa mereka gagal mencari strategi yang tepat untuk mengatasi naib juara Kejohanan Dunia 2023 itu.

Nur Izzuddin, sebaliknya, memuji taktik dan kesabaran juara Eropah yang sedang mempertahankan gelaran mereka, sekali gus berjaya meraih kemenangan pada penamat musim ini.

"Musim ini berjalan dengan baik. Kami telah mencapai perkara yang belum pernah dilakukan sebelum ini dan berharap dapat menjadi lebih baik pada tahun depan," katanya dalam rakaman audio dari Persekutuan Badminton Dunia (BWF) yang dikongsi kepada media hari ini.

Terdahulu, beregu campuran negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei memberikan tentangan sengit sebelum tewas di tangan wakil tuan rumah, yang juga juara Olimpik Paris 2024, Zheng Si Wei-Huang Ya Qiong dengan keputusan 18-21, 21-14, 17-21 dalam aksi final.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan