SUKAN > BERITA

Skuad Kebangsaan Mampu Raih Kejayaan Di Terbuka Malaysia - Rexy

03/01/2025 03:57 PM

KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Skuad kebangsaan mampu membuka lembaran 2025 dengan  kejayaan meraih gelaran Terbuka Malaysia berdasarkan komitmen positif yang dipamerkan setiap pemain, kata Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky.

Malah ‘saingan sihat’ daripada pemain profesional khususnya beregu lelaki Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani juga boleh dijadikan motivasi buat pemain di bawah naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Yap Roy King-Wan Muhammad Arif Wan Junaidi untuk memperkukuhkan kedudukan mereka.

“Kepercayaan ini bukan saya letak pada sektor beregu lelaki sahaja tetapi juga kepada Cheng Tang Jie-Toh Ee Wei (beregu campuran) yang diharap boleh pergi jauh dengan keyakinan ditunjukkan pada Jelajah Dunia Akhir BWF.

“Selain itu, pemain perseorangan lelaki seperti Leong Jun Hao yang telah berjaya ke final Masters Jepun 2024. Bukan senang sebab dia lawan semua pemain terbaik jadi, kita harapkan dia boleh ulang perkara sama di Terbuka Malaysia nanti,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Selain itu, Rexy turut menaruh harapan kepada beregu wanita utama negara Pearly Tan-M Thinaah dapat mempamerkan kecemerlangan mereka kerana undian dilihat berpihak kepada pasangan negara.

Sementara itu, Rexy berharap pemain yang beraksi dalam dua kategori dapat membuat pilihan lebih tepat pada penampilan kali ini dan perjumlaah telah diadakan dengan jurulatih berkaitan bagi membincangkan isu berkenaan.

Terbuka Malaysia 2025 akan berlangsung pada 7 hingga 12 Jan di Axiata Arena, Bukit Jalil. 

Dalam perkembangan lain berkaitan calon ketua jurulatih beregu lelaki negara Herry Iman Pierngadi, Rexy mengakui semua sedia maklum mengenai kehebatan dan kualiti dimiliki jurulatih beregu legenda Indonesia itu.

Namun, beliau berkata keputusan muktamad akan dibuat secara bersama dengan pihak pengurusan.

“Selain Herry, terdapat beberapa calon turut dihubungi seperti Lee Wan Wah, Yap Kim Hock, Tan Boon Heong, Koo Kien Keat. Semua calon memberikan maklum balas namun ada antara mereka yang telah mempunyai komitmen tersendiri,” katanya.

Kerusi ketua jurulatih beregu lelaki negara kosong selepas Tan Bin Shen akan melepaskan jawatannya berkuat kuasa 13 Jan ini selepas menerima tawaran untuk bersama skuad badminton Hong Kong.

Herry memiliki reputasi besar selepas melahirkan juara Olimpik seperti Tony Gunawan-Candra Wijaya dan Hendra Setiawan-Markis Kido serta beberapa gandingan bertaraf dunia.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan