KUALA LUMPUR, Jan 11 (Bernama) -- Skuad Harimau Malaya berkemungkinan besar diperkuatkan dengan beberapa muka baharu ketika kempen Kelayakan Piala Asia 2027 bermula Mac ini.
Ia berikutan perkongsian Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bahawa enam hingga tujuh pemain warisan telah dikenal pasti untuk mewakili Malaysia.
“Diharapkan kerajaan Malaysia dapat membantu dalam proses mendapatkan pasport Malaysia agar mereka dapat bermain untuk skuad Harimau Malaya pada kelayakan Piala Asia 2027 mulai Mac ini.
“Mustahak skuad Harimau Malaya memulakan kempen kelayakan dengan keputusan yang positif,” titah baginda di akaun Facebooknya hari ini.
Baginda yang dilihat mengetuai penstrukturan revolusi skuad Harimau Malaya turut memuat naik gambar bersama Ketua Pegawai Eksekutif baharu pasukan kebangsaan Robert Friend serta Ketua Prestasi Tinggi dan Perubatan Sukan pasukan itu Dr Craig Duncan.
Bagi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 yang bakal berlangsung dari 25 Mac ini hingga 31 Mac tahun depan, Malaysia diundi dalam Kumpulan F bersama Vietnam, Nepal dan Laos.
Hanya juara kumpulan sahaja akan layak ke kejohanan bola sepak terunggul Asia itu di Arab Saudi dari 7 Jan hingga 5 Feb 2027.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial