SUKAN > BERITA

Peruntukan Pembangunan Bola Sepak Malaysia Ditingkatkan Kepada RM30 Juta - PM Anwar

12/01/2025 08:50 PM

KUALA LUMPUR, 12 Jan (Bernama) -- Peruntukan RM15 juta yang diumumkan pada Belanjawan 2025 khusus untuk pembangunan sukan bola sepak digandakan kepada RM30 juta dengan RM15 juta akan dibiayai pihak swasta, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata peruntukan itu akan digunakan bagi meningkatkan program pembangunan bola sepak di setiap peringkat khususnya Harimau Malaya selain mempersiapkan pasukan utama agar lebih kompetitif dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai.

Perdana Menteri berkata dana itu juga akan dimanfaatkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam aspek pengurusan organisasi yang memerlukan perubahan menyeluruh dari setiap sudut bagi memastikan pemain kebangsaan mendapat sokongan berterusan daripada barisan tenaga pakar dan kejurulatihan yang dilantik.

"Usaha juga akan ditumpukan kepada mewujudkan lebih ramai pemain pelapis pasukan Harimau Malaya, dengan memberikan pendedahan meluas kepada skuad bawah 23 negara dan ini secara tidak langsung membolehkan pasukan utama sentiasa dilengkapi dengan para pemain yang berpengalaman," katanya.

Selain ikhtiar yang dilakukan Kerajaan MADANI dan FAM, beliau juga berharap Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail akan memberikan dukungan berterusan berdasarkan pencapaian, pengalaman serta rangkaian luas baginda dalam industri bola sepak.

"Pengetahuan Pemangku Sultan Johor yang mendalam mengenai pengurusan bola sepak serta hubungan dengan figura sukan dan kelab bola sepak antarabangsa adalah aset yang tidak ternilai yang dapat digunakan untuk menolong Harimau Malaya dan pasukan pengurusannya," katanya.

Anwar berkata umum mengetahui bahawa sukan bola sepak amat dekat di hati rakyat Malaysia termasuk dirinya sendiri yang sentiasa menerima perkembangan langsung berkaitan situasi melibatkan Harimau Malaya.

"Pelbagai usaha berterusan dilakukan Kerajaan MADANI bersama beberapa pihak lain dalam memastikan skuad Harimau Malaya diperkukuh sekali gus muncul sebagai gergasi bola sepak Asia," katanya.

Anwar berharap agar rakyat Malaysia terus memberikan sokongan dan kepercayaan kepada skuad kebangsaan itu termasuk pasukan pengurusan dalam mengangkat nama Malaysia ke peringat tertinggi dan setanding nama besar bola sepak antarabangsa.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan