SUKAN > BERITA

Kesilapan Pemain Punca Penang FC Terlepas Tiga Mata Berharga

13/01/2025 11:32 AM

GEORGE TOWN, 13 Jan (Bernama) -- Kesilapan pemain menjadi punca kegagalan Penang FC mengutip tiga mata berharga di halaman sendiri ketika menentang Perak FC pada saingan Liga Super yang berkesudahan seri 3-3 malam tadi.

Ketua Jurulatih Penang FC Wan Rohaimi Wan Ismail berkata beliau telah menegaskan kepada pemain supaya terus menekan pihak lawan walaupun sedang mendahului dengan dua gol, namun perkara sebaliknya berlaku.

Beliau berkata apabila Perak FC memperoleh sepakan penalti, pemainnya mula hilang fokus sehingga lawan berjaya menjaringkan gol ketiga dan untuk bangkit semula memang agak mustahil walaupun mereka menunjukkan semangat juang tinggi untuk mendapatkan keputusan positif.

“Pemain kena bijak kerana bola sepak bukan sekadar memerlukan tenaga tetapi juga akal fikiran untuk menyelesaikan segala masalah di atas padang,” katanya pada sidang media selepas perlawanan tamat di Stadium Bandaraya di sini, malam tadi.

Pengendali berusia 48 tahun itu yang jelas kecewa dengan keputusan seri berkata melepaskan dua gol dalam tempoh 10 minit tidak sepatutnya berlaku terutama dalam situasi mendahului dan ternyata, saingan Liga Super memerlukan pemainnya mengurangkan kesilapan.

Sementara itu, pengendali Perak FC Yusri Che Lah berpuas hati dengan keputusan seri malam tadi memandangkan skuadnya dalam keadaan tempang akibat kecederaan beberapa pemain utama dengan Clayton Da Silveira Da Silva dan Luciano Guaycochea beraksi dalam keadaan belum pulih sepenuhnya.

“Dua pemain terakhir yang masuk tadi, mereka adalah pemain bawah 20 tahun. Memang kita tidak cukup pemain untuk penggiliran, tetapi itu bukan alasan,” katanya yang gembira perubahan taktikal selepas ketinggalan berjaya mencipta kebangkitan diharapkan untuk sekurang-kurangnya mengikat tuan rumah.

Pada perlawanan malam tadi, Penang FC sekadar seri 3-3 sekali gus kekal di kedudukan ke-11 liga dengan 15 mata manakala Perak FC di tangga kelapan setelah mengumpul 19 mata.

Skuad Harimau Kumbang bakal berdepan Selangor FC pada aksi separuh akhir Piala Cabaran 19 Jan ini dan bertemu sekali lagi untuk perlawanan ke-18 Liga Super pada 25 Jan di Stadium Bandaraya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan