SUKAN > BERITA

Jonassen Optimis Dengan Potensi Jun Hao Walaupun Tersingkir awal

17/01/2025 05:04 PM

KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Ketua jurulatih baharu perseorangan badminton negara Kenneth Jonassen optimis dengan potensi Leong Jun Hao walaupun pemain ini tersingkir awal pada Terbuka Malaysia dan Terbuka India 2025. 

Jun Hao kecundang pada pusingan kedua selepas tewas 18-21, 12-21 kepada Weng Hong Yang dari China dalam Terbuka India di New Delhi semalam dan minggu lepas pemain ini tersingkir pada pusingan pembukaan Terbuka Malaysia di tangan Lu Guang Zu juga dari China, 17-21, 21 -16, 13-21. 

Bagaimanapun, Jonassen percaya pemain nombor 28 dunia itu telah menunjukkan keupayaannya untuk bersaing terutamanya apabila berhadapan pemain yang berada pada ranking teratas. 

Jurulatih dari Denmark yang menyertai pasukan kebangsaan pada 4 Jan itu turut memuji prestasi Jun Hao, terutamanya keupayaannya untuk bangkit semula dengan mengejutkan pemain nombor lapan dunia Li Shi Feng dari China, 18-21, 21-17, 21-17 pada aksi pertama pusingan Terbuka India pada Selasa.

“Saya rasa perlawanan pertamanya menentang Li Shi Feng permainan yang sangat bagus, dia berusaha menggunakan semua kelebihan untuk menang. Bagi saya, kemenangan sebegini amat penting dalam membentuk perkembangan dan keyakinan seorang pemain,” katanya. 

Jonassen berharap Jun Hao mampu beraksi dengan lebih tenang serta yakin dengan kemampuannya selain memahami kekuatan dan kelemahan lawannya.

Tidak menafikan cabaran getir bakal menanti Jun Hao untuk menempatkan diri dalam kalangan pemain terbaik dunia, Jonassen berkata dengan mempelajari dan memperbaiki aspek-aspek kecil dalam permainan, pemain berusia 25 tahun itu mampu tampil dengan prestasi lebih cemerlang dalam kejohanan akan datang.

Jonassen berkata antara aspek penting yang perlu diberi perhatian adalah keupayaan untuk meningkatkan prestasi dalam setiap rally dan memperkemas hantaran bagi menghalang lawan membina momentum. 

Sementara itu, jurulatih berusia 50 tahun berkenaan berkata beliau kagum dengan dedikasi yang ditunjukkan pemain perseorangan wanita dalam usaha meningkatkan prestasi permainan. 

“Pemain wanita menunjukkan keazaman dan saya tidak sabar untuk melihat perkembangan mereka sama seperti apa yang saya lakukan untuk pemain perseorangan lelaki namun proses ini sudah pasti mengambil masa,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan