KUALA LUMPUR, 17 Jan (Bernama) -- Beregu lelaki nombor satu negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan rentak cemerlang untuk mengetuai empat lagi wakil Malaysia ke separuh akhir pada Kejohanan Badminton Terbuka India 2025 di New Delhi esok.
Pada aksi suku akhir kejohanan Super 750 yang berlangsung di Kompleks Sukan Indira Gandhi hari ini, beregu nombor dua dunia itu menyingkirkan pasangan kembar dari Taiwan Lee Fang Chih-Lee Fang Jen 21-11 dan 21-17.
Sze Fei-Nur Izzuddin akan bertemu pemenang antara Jin Yong-Kang Min Hyuk dari Korea Selatan atau pilihan kelapan kejohanan dari India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty dalam satu lagi aksi suku akhir hari ini.
Sementara itu, beregu lelaki nombor dua negara Aaron Chia-Soh Wooi Yik mengikut jejak langkah sama apabila menyingkirkan lawan dari Thailand Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh 21-18 dan 21-18 dalam tempoh 39 minit.
Keputusan itu menyaksikan Aaron-Wooi Yik dijadual bertemu sama ada Kim Won Ho-Seo Seung Jae dari Korea Selatan atau Liang Wei Keng-Wang Chang dari China pada separuh akhir.
Beregu campuran utama negara Chen Tang Jie-Toh Ee Wei pula menewaskan pasangan Thailand Ruttanapak Oupthong-Jhenicha Sudjaipraparat 21-16 dan 21-17, serta dijadual menentang gandingan Perancis Thom Gicquel-Delphine Delrue.
Langkah cemerlang turut dilakar satu lagi beregu campuran negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang mengesahkan slot empat terbaik setelah menewaskan pasangan suami isteri dari Taiwan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang 21-11 dan 21-15.
Soon Huat-Shevon dijadual bertemu wakil tuan rumah Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin.
Beregu wanita utama negara Pearly Tan-M. Thinaah menambah keceriaan skuad negara selepas menewaskan gandingan Jepun Yuki Fukushima-Mayu Matsumoto 21-18 dan 21-19 dalam aksi hampir satu jam, sekali gus mengatur pertemuan dengan Kim Hye Jeong-Kong Hee Yong dari Korea Selatan pada aksi separuh akhir.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial