SUKAN > BERITA

Pang Ron-Su Yin Tekad Kekalkan Konsistensi Menjelang BAMTC

05/02/2025 01:23 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Beregu campuran negara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin tekad memberi tumpuan kepada usaha memperbaiki kelemahan yang menghalang mereka daripada beraksi secara konsisten menjelang Kejohanan Badminton Berpasukan Campuran Asia (BAMTC) yang berlangsung dari 11 hingga 16 Feb ini.

Pang Ron berkata antara kelemahan yang perlu ditangani bersama pasangannya ialah mengurangkan kesilapan mudah ketika berada di gelanggang selain perlu menangani tekanan tinggi yang diletakkan kepada mereka.

“Untuk saingan BAMTC, saya rasa kami berdua sudah melakukan persediaan sebaiknya selepas berehat sehari untuk menyambut Tahun Baharu Cina. Kami memberikan lebih fokus untuk meningkatkan konsistensi di gelanggang.

"Tahun ini, mungkin disebabkan kami meletakkan harapan terlalu tinggi sehingga menyebabkan kami berdepan tekanan selain harapan daripada peminat. Jadi, saya rasa memang kami perlu belajar lagi (untuk mengatasi tekanan)," katanya.

Sebelum ini, Pang Ron-Su Yin diumumkan antara pasangan yang akan membawa cabaran Malaysia dalam acara beregu campuran pada saingan BAMTC bersama-sama pasagan Goh Soon Huat-Shevon Lai.

Sementara itu, Pang Ron ketika diminta mengulas berkenaan lawan Malaysia dalam kumpulan B iaitu Indonesia dan Hong Kong, berkata semua pasukan memiliki peluang yang hampir sama.

"Meskipun kedua-dua negara bakal mempertaruhkan beregu terbaik mereka, saya percaya Malaysia mampu memberi cabaran sengit untuk melepasi peringkat kumpulan

"Saya tidak rasa mana-mana pasukan mempunyai kelebihan kerana sesiapa sahaja berpeluang untuk menang sebaik sahaja memasuki gelanggang. Kami perlu ada semangat juang untuk pasukan dan jangan mudah mengalah," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan