SUKAN > BERITA

MotoGP: 'Martinator' Patah Tangan Dan Kaki - Ujian Sepang

05/02/2025 11:45 PM

SEPANG, 5 Feb (Bernama) -- Juara dunia MotoGP Jorge Martin telah disahkan terkeluar daripada ujian rasmi pramusim Sepang 2025 berikutan kemalangan ngeri pada hari pertama di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini.

Menurut satu kenyataan di X oleh @MotoGP, pelumba Aprilia Racing itu, yang telah dikejarkan ke hospital- dipercayai di Nilai, Negeri Sembilan - utuk pemeriksaan lanjut sejurus selepas kemalangan tersebut, disahkan mengalami kecederaan patah tangan kanan dan patah kaki kiri.

"Beliau akan kekal di hospital semalaman dan esok akan terbang kembali ke Eropah untuk menjalani pembedahan pada tangan kanan dan kaki kirinya," menurut kenyataan tersebut.

Sementara itu, pelumba Sepanyol berusia 27 tahun itu, melalui satu hantaran di Instagramnya, meluahkan rasa kecewa kerana terlepas peluang memulakan musim baharu dengan baik.

"Bukan permulaan terbaik untuk musim 2025. Tapi Martinator pasti sentiasa kembali lebih kuat," katanya.

Insiden malang itu menyaksikan Martin tercampak dari jentera baharu Aprilia RS-GP di Selekoh 2, berpusing di udara sebelum mendarat dengan kuat di trek asfalt.

Sebelum kejadian tersebut, pelumba yang digelar ‘Martinator’ itu turut terlibat dalam satu kemalangan di Selekoh 1, manakala masa terbaiknya pada sesi hari ini ialah dua minit dan 1.321 saat (s) pada pusingan kelima.

Dalam pada itu, juara dunia 2021, Fabio Quartararo muncul sebagai pelumba terpantas pada hari pertama dengan catatan masa 1:57.555s.

Ujian musim sejuk selama tiga hari ini akan disambung esok dan berlangsung sehingga Jumaat ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Aprilia Racing, Massimo Rivola memberitahu wartawan bahawa berdasarkan data, Martin tidak melakukan sebarang kesilapan dan motosikal termasuk tayarnya berada dalam keadaan sempurna.

“Kemalangan yang teruk tanpa sebab yang jelas, tanpa sebarang kesilapan daripada pihak pelumba atau motosikal. Tayar berada pada suhu dan tekanan yang betul,” katanya.

Rivola juga percaya bahawa pelumbanya akan cergas untuk bersaing pada perlumbaan pembuka tirai musim 2025 di Litar Antarabangsa Chang, Thailand, dari 28 Feb hingga 2 Mac ini.

“Kita pernah melihat Jorge dan ramai lagi pelumba melakukan keajaiban. Jadi, mengapa tidak menantikannya di Thailand?” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan