SUKAN > BERITA

MotoGP: Morbidelli Catat Masa Terpantas Pada Hari Kedua Ujian Di Sepang

06/02/2025 11:01 PM

SEPANG, 6 Feb (Bernama) -- Pelumba Itali Franco Morbidelli mencatatkan masa sepusingan terpantas  pada hari kedua yang agak kurang dramatik pada sesi Ujian Rasmi MotoGP Selang 2025 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) di sini hari ini.

Keadaan ini jauh berbeza dengan sesi pembukaan semalam yang menyaksikan beberapa kemalangan ngeri.

Morbidelli, pelumba pasukan Pertamina Enduro VR46 Racing Team, mencatat masa 1 minit dan 57.210 saat (s) pada pusingan ke-18 pagi ini, lebih pantas daripada catatan masanya dalam kelayakan pada Grand Prix (GP Malaysia) tahun lepas, menjadikannya pelumba terpantas selepas hari kedua Ujian Musim Sejuk.

Pelumba pasukan Monster Energy Yamaha, Fabio Quartararo, yang terpantas semalam dengan masa 1:57.555s, meningkatkan masanya kepada 1:57.324s untuk menduduki tempat kedua di hadapan Alex Marquez dari Gresini Racing (1:57.340s).

Morbidelli, 30, yang merupakan pelumba pertama dari Akademi Pelumba VR46 di bawah bimbingan legenda MotoGP Valentino Rossi, gembira dengan prestasi mantap dan mengaitkannya dengan semangat kekeluargaan dalam pasukannya.

“Ia adalah hari yang hebat…pasukan berhak mendapat persembahan seperti ini. Ia sesuatu yang telah lama kami rindui... kami memerlukan persembahan seperti ini untuk memulakan musim dengan kukuh dan membina dari sini. Kami sangat gembira,” katanya kepada pemberita.

Ditanya sama ada pelumba lebih berhati-hati berikutan beberapa kemalangan pada hari pertama, Morbidelli menyifatkan pemilihan tayar yang lebih baik turut membantu mengurangkan kemalangan.

"Saya tidak melihat sesiapa terbabas di litar hari ini… jumlah kemalangan juga jauh lebih sedikit berbanding semalam. Mungkin ini juga disebabkan oleh pemilihan tayar yang lebih sesuai. Semalam, semua pelumba menggunakan kompaun yang lebih keras, jadi faktor itu juga membantu hari ini," katanya.

Salah seorang mangsa kemalangan semalam ialah juara dunia dari Aprilia Racing, Jorge Martin, yang terpaksa menarik diri daripada Ujian Musim Sejuk selepas mengalami patah tangan kanan serta beberapa keretakan di kaki kirinya akibat terjatuh di Selekoh 2.

Pelumba  pasukan Trackhouse Racing, Raul Fernandez turut menarik diri daripada ujian Sepang selepas mengalami patah tulang metakarpus di tangan kirinya sementara raka sepasukan Ai Ogura dan Pedro Acosta dari Red Bull KTM Factory turut terbabit dalam insiden berasingan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIC Azhan Shafriman Hanif memberi jaminan keadaan permukaan litar masih kekal dalam keadaan memuaskan, dengan pemeriksaan harian dilakukan sebelum sesi ujian bagi memastikan pematuhan terhadap protokol keselamatan Persekutuan Motosikal Antarabangsa (FIM).

Beliau berkata SIC tidak menerima maklum balas negatif daripada pelumba dan pasukan selepas menganjurkan Ujian MotoGP Shakedown selama tiga hari minggu lepas sebelum Ujian Musim Sejuk ini bermula.

“Kami sentiasa memastikan trek diperiksa dan diselenggara dengan baik demi keselamatan pelumba. Penambahbaikan terakhir dilakukan pada 2023, termasuk sebahagian penurapan semula dengan majoriti litar diturap semula pada 2016.

“Beberapa penambahbaikan dan penyelenggaraan penting telah dilakukan tahun lepas untuk meningkatkan keselamatan dan prestasi litar. Antaranya pembaikan Misano Curb di Turn 15 serta penyelenggaraan perangkap kerikil, penghadang Armco, tayar penghadang dan pagar keselamatan,” katanya dalam kenyataan.

Pelumba mempunyai satu hari lagi untuk melakukan persediaan jentera mereka sebelum Ujian Sepang berakhir esok.

Mereka kemudiannya akan menuju ke ujian pramusim terakhir mereka di Litar Antarabangsa Chang di Thailand dari 12-14 Feb, menjelang GP Thailand pembukaan musim dari 28 Feb hingga 2 Mac.

SIC akan menjadi tuan rumah GP Malaysia dari 24-26 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan