KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih beregu wanita Rosman Razak terus memantau perkembangan tujuh beregu wanita negara sebelum membuat sebarang rombakan bagi membentuk beregu kedua terbaik selepas Pearly Tan-M.Thinaah.
Beliau mengakui sektor beregu wanita masih bergelut dengan jurang prestasi yang ketara antara pemain menjadikan proses berkenaan satu cabaran besar.
“Sebenarnya, usaha merombak gandingan sedang berjalan tetapi seperti saya katakan, ia adalah satu proses yang memerlukan masa kerana prestasi pemain sentiasa berubah-ubah.
“Setiap masa akan ada perubahan, sama ada dari segi komitmen atau tahap permainan mereka. Oleh itu, tiada tempoh tertentu ditetapkan, dan situasi ini turut membuka peluang kepada pemain junior untuk merebut tempat dalam skuad utama,” katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, hari ini.
Rosman turut mengakui usaha membentuk beregu wanita yang kompetitif bukan tugas mudah dan memerlukan masa lebih panjang.
“Beregu wanita kita masih mempunyai jurang besar dengan pasangan terbaik dunia. Ini bukan kerja setahun, tetapi memerlukan tempoh sekurang-kurangnya dua hingga tiga tahun untuk mencapai tahap tersebut,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial