KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) -- Pemain perseorangan lelaki negara Ng Tze Yon kembali menjalani latihan di Akademi Badminton Malaysia (ABM) Bukit Kiara, sejak minggu lepas dan dijangka membuat kemunculan semula pada April ini.
Bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu berkata sesi latihannya terpaksa dihadkan kepada lebih kurang sejam berikutan masih menghadapi trauma jika mengalami kesakitan, dan pada masa sama bagi memastikan proses pemulihannya berjalan lancar.
“Dalam seminggu, saya dapat berlatih tiga kali kerana di ISN (Institut Sukan Negara) pun ada (latihan). Memang saya dapat menjalani latihan penuh tetapi tempoh itu tidak terlalu lama, lebih kurang sejam.
"Kalau ada rasa sakit memang akan rasa trauma namun tetap positif sebab sudah kembali dalam gelanggang," katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Sebagai rekod, Tze Yong hanya beraksi tiga kejohanan pada musim lepas, sebelum terpaksa berehat panjang selepas menjalani pembedahan susulan kecederaan belakang dialami.
"Kondisi saya sudah semakin baik, kira-kira dalam 60 peratus tetapi kena tengok semula bagaimana. Memang saya sasarkan April (kembali beraksi) dan gunakan (perlindungan) ranking untuk bermain setengah tahun," katanya.
Sebelum ini, jurulatih perseorangan negara, Kenneth Jonassen, berkata Tze Yong perlu menyertai sekurang-kurangnya satu kejohanan sebelum akhir April bagi mengekalkan kedudukan ke-18 selama enam bulan lagi.
Sekiranya Tze Yong gagal berbuat demikian, beliau akan kehilangan semua mata ranking dan terkeluar sepenuhnya daripada senarai ranking dan memaksanya untuk memulakan semula dari awal.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial