KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Pemain beregu lelaki negara Tee Kai Wun masih belum terfikir untuk mengesahkan tempat bagi menyertai Piala Sudirman 2025, yang dijadualkan berlangsung di Xiamen, China dari 27 April hingga 4 Mei ini.
Kai Wun berkata dia sedar saingan untuk mendapat tempat dalam Piala Sudirman bersama pasangannya Man Wei Chong adalah sengit, kerana terdapat dua lagi pasangan yang berada di atas mereka dalam ranking dunia iaitu pasangan profesional Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani (kedudukan kedua) dan bekas juara dunia 2022 Aaron Chia-Soh Wooi Yik (kedudukan kelima).
Kai Wun sebaliknya berkata dia dan Wei Chong, yang kini menduduki ranking ke-11 dunia sedang memberikan tumpuan kepada persiapan menghadapi kejohanan akan datang di Eropah, termasuk All England 2025 di Birmingham pada 11 hingga 16 Mac.
“Kami hanya cuba untuk memberikan prestasi terbaik sepanjang perjalanan ke Eropah, tetapi apa yang akan berlaku seterusnya, kami tidak tahu,” katanya kepada pemberita selepas sesi latihan di sini hari ini.
Berdasarkan prestasi semasa, Kai Wun-Wei Chong dilihat sebagai calon berpotensi untuk Piala Sudirman selepas merangkul kejuaraan Indonesia Masters 2025 bulan lepas, manakala Sze Fei-Nur Izzuddin menunjukkan prestasi cemerlang sejak Ogos 2024, termasuk menamatkan saingan sebagai naib juara pada Jelajah Dunia Akhir 2024 pada Disember lepas.
Sementara itu, Kai Wun berkata keyakinan mereka juga semakin meningkat apabila berdepan pasangan yang kini berada dalam kelompok 10 terbaik dunia.
Pemain berusia 24 tahun itu berkata pengalaman berdepan pasangan berkenaan sangat membantu terutama dalam menguruskan tekanan apabila menentang mereka di gelanggang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial