KUALA LUMPUR, 22 Feb (Bernama) -- Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) hari ini mengumumkan aksi final Piala Malaysia 2024-2025 antara Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Sri Pahang FC, akan berlangsung pada 12 April di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).
MFL menerusi kenyataan memaklumkan penetapan tarikh itu dibuat selepas mengambil kira kesesuaian kalendar Liga Malaysia (Liga-M), serta penglibatan JDT dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) selepas mereka layak ke pusingan 16 terbaik, dengan aksi timbal balik bermula 4 Mac ini.
“...andai berjaya ke pusingan suku akhir, ia dijangka berlangsung pada 25 April 2025. Tarikh perlawanan akhir Piala Malaysia itu dilihat akan memberi ruang kepada JDT mengharungi peringkat kalah mati ACLE.
“MFL selaku badan pengelola jelas komited untuk menyokong mana-mana kelab yang menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa, malah keputusan penetapan tarikh final edisi ke-98 itu mendapat persetujuan dan sokongan baik Sri Pahang FC,” menurut kenyataan itu.
Mengulas lanjut, MFL memaklumkan antara faktor penting dalam pemilihan tarikh 12 April itu juga ialah ketersediaan venue SNBJ, yang dilihat gelanggang paling sesuai untuk menyambut kehadiran ribuan penyokong kedua-dua pasukan itu nanti.
Kenyataan MFL memaklumkan SNBJ akan ditutup untuk kerja-kerja penambahbaikan padang bermula selepas tamatnya perlawanan akhir Piala Malaysia, yang sekali gus menjadikan 12 April sebagai tarikh paling ideal untuk menganjurkan perlawanan akhir.
“Perubahan tarikh perlawanan akhir ini juga akan melibatkan pindaan tarikh-tarikh perlawanan Liga Super minggu 25 dan 26. Muat turun jadual Liga Super di laman web MFL,” menurut kenyataan MFL.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial