SUKAN > BERITA

Piala Cabaran: Dugaan Berterusan Buat PDRM FC Hilang Arah

23/02/2025 09:56 AM

PETALING JAYA, 23 Feb (Bernama) -- Penolong jurulatih PDRM FC Eddy Gapil mengakui pasukannya berdepan pelbagai cabaran yang menjejaskan prestasi dalam final kedua Piala Cabaran 2024/2025, sekali gus menggagalkan usaha mempertahankan kejuaraan musim lepas.

Antara isu utama yang dihadapi ialah kehilangan ketua jurulatih serta hukuman tatatertib mengejutkan menjelang aksi final kedua, selain situasi semakin merumitkan apabila Muhammad Eizrul Ashraf Nor Effendy dilayangkan kad merah seawal minit ke-22, sekali gus merencatkan rentak permainan Sang Saka Biru dan memberi kesan besar terhadap mental pemain.

“Kami tidak dapat menurunkan skuad penuh berikutan kecederaan Ifedayo Olusegun yang menyebabkan kelemahan ketara di bahagian tengah dan serangan. Selain itu, kami dihukum dengan dua gol awal dalam tempoh 10 minit dan kad merah yang diterima benar-benar membunuh semangat pemain PDRM.

“Saya hanya mempunyai dua hari untuk mempersiapkan pasukan dan meneruskan apa yang dirancang ketua jurulatih, kerana tiada masa mencukupi mengubah strategi,” katanya kepada media selepas perlawanan final kedua yang menyaksikan PDRM FC tewas kepada Selangor FC dengan agregat 0-7 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Difahamkan, Ketua Jurulatih PDRM FC P. Maniam telah direhatkan daripada tugas sehari sebelum aksi final, berikutan kenyataan yang dikeluarkan oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Kenyataan itu memaklumkan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) telah menjatuhkan hukuman terhadap PDRM FC, kerana didapati bersalah menurunkan pemain tidak berkelayakan pada Final 1 Piala Cabaran 2024-2025 menentang Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 15 Feb lepas.

MFL memaklumkan susulan itu PDRM FC telah dilucutkan hak perlawanan dan dikira kalah perlawanan berkenaan dengan keputusan 3-0 dan perlu membayar denda sebanyak RM3,000.

Piala Cabaran diperkenalkan oleh MFL pada 2018, dengan Terengganu FC II (TFC II) muncul juara edisi sulung, diikuti Johor Darul Ta’zim II (2019) dan PDRM FC (2023).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan