SUKAN > BERITA

ATC 2025: Sawda Pecah Rekod Remaja Asia, Raih Emas Ujian Masa 1 Km

23/02/2025 06:59 PM

NILAI, 23 Feb (Bernama) -- Atlet berbasikal berusia 17 tahun Sawda Hasbullah mencipta sensasi apabila memecahkan rekod remaja wanita Asia bagi acara ujian masa 1 kilometer (km) untuk meraih emas pertama skuad berbasikal trek remaja negara di Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACT) 2025 di Velodrom Nasional di sini hari ini.

Beliau mencatatkan satu minit 10.818 saat (s) untuk memperbaharui rekod yang dicipta atlet Taiwan Liu Shang Ying (1:12.722s) pada pusingan kelayakan pagi tadi. 

Pingat perak dimenangi Shang Yin dengan catatan 1:11.936s manakala wakil India Harshita Jakhar menduduki tempat ketiga (1:12.848s).

Menurut Sawda, beliau gembira dengan pencapaian itu sekali gus mengubat kekecewaannya gagal meraih pingat dalam acara keirin semalam selepas terpaksa berpuas hati dengan tempat keempat.

"Saya sangat bersyukur, Alhamdulillah. Saya tahu ia bukan perlumbaan yang mudah terutama dengan tambahan jarak yang lebih panjang berbanding sebelum ini. 

“Namun saya sudah bersedia dan hanya fokus kepada strategi yang telah dirancang," katanya kepada pemberita selepas perlumbaan.

Sepanjang tiga hari ATC 2025 berlangsung, skuad berbasikal remaja berjaya mengumpul satu pingat emas dan dua perak menerusi acara pecut berpasukan wanita pada Jumaat dan keirin wanita menerusi Nur Umairah Qhaisara Zulfikha Razak semalam.

Dalam perkembangan sama, skuad berbasikal trek para negara terus cemerlang dengan tuaian dua lagi pingat emas menerusi acara kejar-mengejar individu.

Emas disumbangkan Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dalam kategori cycle 1 (C1) dan Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam C3.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan