NILAI, 24 Feb (Bernama) -- Jaguh berbasikal trek wanita negara Nurul Izzah Izzati Mohd Asri sedia menyahut cabaran mengungguli acara 1 kilometer (km) ujian masa, susulan kejayaan atlet junior Sawda Hasbullah mempamerkan kayuhan ‘emas’ pada Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ACT) 2025.
Nurul Izzah Izzati berkata pencapaian atlet berusia 17 tahun itu, menjadi pembakar semangat untuk beliau tampil lebih hebat selaku atlet senior pada kategori elit acara itu, dijadualkan berlangsung pada Rabu.
Semalam, Sawda mencipta sensasi apabila memecahkan rekod remaja wanita Asia bagi acara 1km ujian masa untuk meraih emas pertama skuad berbasikal trek remaja negara, dengan catatan satu minit 10.818 saat (s) sekali gus membaharui rekod atlet Taiwan Liu Shang Ying (1:12.722s) pada pusingan kelayakan.
“Saya mahu melakukan yang terbaik kerana junior (Sawda) juga dapat mencatat 1:10 minit, maka selaku atlet senior, sudah tentu saya berharap dapat mencatat masa lebih baik.
“Ini menjadi pembakar semangat kerana kami saling membantu sebelum ini. Kalau Sawda menyertai barisan atlet elit, tentu beliau akan menjadi pesaing yang baik dan kami boleh terus maju bersama,” katanya ketika ditemui di sini.
Anak jati Kedah itu memulakan kempen ATC 2025 dengan cemerlang apabila mencipta rekod kebangsaan baharu, selain membantu negara memperoleh perak dalam acara pecut berpasukan dan turut mempertahankan gangsa dimenanginya tahun lepas.
Pada masa sama, Nurul Izzah Izzati berharap beliau dapat menjelmakan keputusan positif dalam misi mempertahankan emas acara keirin dimenanginya pada edisi lepas.
“Saya sudah peroleh keyakinan dalam acara pecut, jadi hendak tampil lebih berani dan memberi saingan kepada pelumba lain (dalam acara keirin),” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial