SUKAN > BERITA

Dua Pasukan Kelantan Akui Berdepan Laluan Sukar Dalam Saingan Piala Malaysia

06/01/2026 09:41 AM

Oleh Azli Shafii

KOTA BHARU, 6 Jan (Bernama) -- Dua pasukan dari Kelantan yang layak beraksi dalam saingan Piala Malaysia musim ini mengakui berdepan laluan sukar untuk mara ke peringkat suku akhir pada kejohanan bola sepak berprestij berkenaan.

Ketua Jurulatih Kelantan Red Warrior FC (KRW FC) Irfan Bakti Abu Salim berkata cabaran pasukan itu tidak mudah kerana mereka adalah pendatang baharu pada kempen Piala Malaysia.

Beliau berkata KRW FC bakal berdepan wakil Liga Super Brunei DPMM FC pada pusingan 16 format kalah mati timbal balik, yang disifatkan sebagai antara pasukan berkualiti pada musim ini.

“Kami turun sebagai pasukan bukan pilihan, dengan barisan pemain tempatan serta seorang pemain import berdepan Brunei DPMM FC,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Jurulatih berpengalaman luas itu berkata walaupun laluan ke suku akhir berliku, beliau akan menggunakan sepenuhnya pengalaman yang dimiliki untuk membantu pasukan itu melangkah lebih jauh.

“Saya mahu pemain memberi tumpuan daripada satu perlawanan ke satu perlawanan, menjaga moral serta mempamerkan disiplin tinggi bagi menghadapi cabaran Piala Malaysia.

“Selain itu, kempen Piala Malaysia ini dijadikan platform pendedahan terbaik kepada pemain untuk menghadapi baki saingan Liga A1 Semi-Pro musim ini,” katanya.

Sementara itu, Penolong Ketua Jurulatih Kelantan The Real Warriors FC (TRW FC) Akmal Rizal Ahmad Rakhli berkata undian mempertemukan pasukan itu dengan Selangor FC pada pusingan 16 memberikan cabaran besar kepada skuad kendaliannya.

“Di atas kertas, kelebihan jelas memihak kepada Selangor FC yang juga antara pasukan terbaik Liga Super serta dibarisi pemain import dan tempatan berkualiti.

“Sebelum ini, kami pernah bertemu mereka dalam saingan Liga Super dan perlawanan itu sememangnya sukar sama ada bermain di tempat sendiri atau di tempat lawan,” katanya.

Beliau berkata fokus latihan pasukan ketika ini adalah meningkatkan tahap kecergasan pemain selain memperbaiki kelemahan, khususnya di posisi penyerang.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan