SUKAN > BERITA

Usaha Mantapkan Semula Perseorangan Lelaki Perlu Mula Sekarang - Kay Bin

03/02/2026 01:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) -- Jurulatih baharu perseorangan remaja lelaki negara, Yeoh Kay Bin menegaskan usaha memantapkan semula pemain perseorangan lelaki perlu dimulakan segera bagi merapatkan jurang pemain negara dengan negara kuasa besar sukan itu.

Bekas jurulatih Lee Zii Jia itu berkata kegagalan memulakan usaha berkenaan lebih awal akan menyebabkan jurang tahap permainan terus melebar, selain memberikan kesan jangka panjang terhadap kesinambungan bakat pada peringkat senior.

“Memang mencabar, tetapi kita kena mula sekarang. Kalau kita terus tangguh, kita akan terus ketinggalan. Keputusan mungkin bukan sekarang, tetapi masa depan bergantung kepada apa yang kita buat hari ini.

“Kita tidak boleh harap hasil satu atau dua tahun. Ini proses yang membina. Kalau asas tidak betul dari awal, susah nak pastikan peralihan mereka kepada tahap senior nanti,” katanya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), di sini hari ini.

Beliau berkata pendekatan kali ini memerlukan jangka panjang dan membina asas menyeluruh merangkumi kemahiran teknikal, fizikal serta mental pemain remaja.

“Sekarang ini fokus saya adalah untuk menilai pemain, faham karakter mereka dan cara mereka berfikir tentang badminton. Ada yang sudah bagus, ada juga yang masih perlukan banyak kerja,” katanya.

Kay Bin adalah antara tiga jurulatih baharu yang dibawa masuk oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam penstrukturan semula kejurulatihan yang diumumkan baru-baru ini.

Kay Bin yang sudah memulakan tugasnya sejak semalam berkata keutamaan awal adalah dengan penilaian sebelum sebarang perancangan jangka panjang dilaksanakan untuk skuad remaja negara. 

Kay Bin yang berpengalaman menjadi jurulatih program pembangunan bersama kelab di Malaysia dan luar negara termasuk China, kini membimbing 18 pemain berusia antara 15 hingga 18 tahun bersama dua lagi jurulatih, iaitu Alvin Chew dan Goh Giap Chin. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan